FARAH MISLINA (kiri) bersama Farah Ilyana dua tunjang utama dalam perniagaan.
FARAH MISLINA (kiri) bersama Farah Ilyana dua tunjang utama dalam perniagaan.
Siti Zarinah Sahib


AURA jenama ini dilihat kehebatannya. Penulis pernah menyaksikan ramainya pelanggan sanggup beratur panjang di hadapan butik ini semata-mata ingin membeli busana kegemaran mereka ketika jualan murah berlangsung.

Begitu juga setiap kali pembukaan kedai, ribuan peminat sanggup menunggu berjam-jam semata-mata melunaskan keinginan mereka terhadap jenama ini. Malah ada pelanggan setia tidak pernah melepaskan peluang membeli setiap kali rekaan baru dikeluarkan.

Dikatakan kegilaan terhadap Calaqisya bermula sejak ia diperkenalkan menerusi dalam talian dengan nama ‘Oh Saya Suka Shawl’. Perniagaan yang dikendalikan tiga beradik iaitu Farah Ilyana Khairuddin, 31, Farah Mislina, 28, dan Farah Azrina, 25, mula berkembang disebabkan kesungguhan mereka meningkatkan pemasaran lebih penting ilmu yang dimiliki.

Jelas Farah Ilyana, dia mula berniaga ketika menuntut dalam jurusan Sarjana Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor pada 2009. Pada waktu itu, dia menjual tudung yang dibeli di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur kepada rakan universiti.

“Oleh kerana berasal dari Perak, sebelum balik ke Johor, saya akan singgah di Jalan TAR untuk membeli beberapa helai tudung dengan modal permulaan RM100 saja,” katanya.

Sambutan diterima sangat hebat. Tudung laris bagai pisang goreng panas membuatkan Farah Ilyana dan Farah Mislina mula mempelbagaikan kepada busana pula sebaik menamatkan pengajian dalam bidang sarjana kimia.

“Ketika itu sangat sukar mendapat baju Muslimah sesuai. Kalau ada kebanyakan fabriknya jarang dan mahal. Pelajar memang tidak mampu. Oleh itu, saya bertekad menyediakan pakaian Muslimah rekaan sendiri pada harga berpatutan dan pada masa yang sama mendidik wanita agar berpakaian mengikut syariat Islam,” katanya.

Mengenali pengasas jenama Radiusite, Farah Ilyana meminta bantuannya agar memberi tunjuk ajar untuk memulakan perniagaan. Ketika itu jenama berkenaan sudah mula dikenali ramai.

“Saya hairan melihat mereka menjalankan perniagaan tanpa perlu keluar rumah, tetapi hasil jualan sangat tinggi. Menerusi tunjuk ajar diberi saya menggunakan sepenuhnya sehinggalah saya dan adik yakin untuk serius berniaga,” katanya yang menukar nama kepada Calaqisya pada 2013 serentak dengan pembukaan butik pertama di Shah Alam.

Bagi menjimatkan kos pengubahsuaian butik, mereka melakukan sendiri dengan menggunakan barangan terpakai. Bermula di tingkat tiga kemudian beralih ke tingkat dua seterusnya memiliki kedai di bahagian bawah.

“Ini bagi memberikan keselesaan kepada pelanggan yang terpaksa menaiki tangga ke tingkat atas untuk mendapatkan busana kami. Sekurang-kurangnya berada di tingkat bawah adalah lebih selesa,” katanya.

Menurut Farah Ilyana, rahsia kejayaan jenama mereka ialah sentiasa menjadi pencetus fesyen dalam setiap rekaan terbaru. Jubah misalnya lari daripada jubah klasik sebenar dengan mengetengahkan jubah moden dan ringkas.

“Kami antara yang terawal menghasilkan jubah moden. Sebelum ini jubah hanya sinonim dengan warna hitam dan berkonsep abaya. Tetapi kami lari sedikit daripada konsep ini dengan mengeluarkan koleksi jubah moden pelbagai gaya dan warna.

“Kami juga memulakan pakaian kasual Muslimah. Konsep kami mudah. Kami hanya bayangkan baju yang senang dipakai setiap hari, kemudian reka sendiri dan jadikan ia kenyataan.

FARAH ILYANA feminin serta kreatif dalam rekaan busana.
FARAH ILYANA feminin serta kreatif dalam rekaan busana.

“Jenama kami sememangnya memfokuskan kepada jenis pakaian harian sama seperti H&M atau Uniqlo. Harga kami juga jauh lebih murah dan berpatutan,” kata Farah Ilyana.

Menurut Farah Mislina pula, bukanlah mudah untuk berada pada tahap sekarang. Pelbagai dugaan dan cabaran perlu ditempuh. Walaupun langsung tiada ilmu berniaga, tetapi dia dan kakaknya tetap bersemangat dalam membangunkan jenama ini sehingga dikenali di Malaysia. Berkat kesabaran dan juga kesungguhan kini empat butik fizikal sudah dibuka.

“Kami kini mempunyai empat butik di lokasi berbeza dengan 30 pekerja. Jadi kami perlu lakukan dengan bersungguh-sungguh dalam memastikan jenama ini dikenali di seluruh Malaysia sebagai pakaian kasual moden setanding jenama antarabangsa,” katanya bersemangat.

Katanya lagi, untuk kekal dalam industri selain kesungguhan dan ilmu, mereka mempunyai mempunyai minat mendalam terhadap fesyen. Ia didorong cara bagaimana mereka dibesarkan.

“Sejak kecil, ibu memang suka hiaskan anaknya. Ibu akan pakaikan baju yang cantik, berstoking, cekak dan aksesori. Sebenarnya sejak kecil lagi orang sudah boleh nampak yang kami ini memang suka berfesyen dan ia diteruskan sehingga melanjutkan pengajian ke universiti. Ini juga menjadi salah satu sebab kenapa kami mampu kekal dalam industri,” kata Farah Mislina.

Memiliki perwatakan berbeza dari segi pakaian dan minat, Farah Ilyana kelihatan lembut dan feminin manakala Farah Mislina lebih lasak. Namun, dalam perniagaan kebiasaannya mereka jarang bercanggah pendapat.

“Bertengkar manja itu perkara biasa namun pada akhirnya kami sependapat dalam pelbagai isu. Ini mungkin disebabkan kami dibesarkan di rumah yang sama jadi pemikiran dan tindak tanduk tidak berbeza,” katanya.

Mereka menjadikan ayah sebagai penasihat sejak mula penubuhan jenama ini sehingga sekarang. Kata-kata ayah menjadi pemangkin semangat untuk terus berusaha memberikan yang terbaik dalam bidang fesyen.

“Walaupun mulanya mereka tidak begitu menyokong namun selepas melihat kami bersungguh-sungguh kini ayah dan ibu sentiasa berdoa agar kejayaan sentiasa berpihak kepada kami,” kata Farah Mislina lagi.

Mula mengorak langkah untuk mengembangkan perniagaan dalam pusat beli-belah ini antara persediaan mereka pada tahun hadapan. Bermula membuka kedai pop-up di Mytown Cheras, ia menampakkan hasil positif apabila turut menarik ramai pelanggan baru termasuk bukan Islam.

Namun sebagai usahawan Bumiputera untuk berada setanding dengan jenama antarabangsa bukanlah mudah. Masih banyak pihak yang tidak tahu mengenai jenama ini jadi mereka keberatan untuk memberikan ruang berniaga yang besar.

“Kami perlu membuktikan terlebih dulu kejayaan kedai ini kepada pihak pengurusan kerana mereka sendiri tidak tahu jenama kami. Sebaik saja melihat betapa fanatiknya peminat kami setiap kali rekaan baru dikeluarkan, barulah mereka mulai percaya dan yakin terhadap kami,” katanya.

Perubahan lokasi daripada butik fizikal ke dalam pusat beli-belah pula selepas mengambil kira trend membeli-belah yang kini bertukar kepada pusat beli-belah yang lengkap semuanya. Ditambah pula cuaca yang tidak menentu ia memudahkan pelanggan membeli busana kegemaran di bawah satu bumbung.

Selain itu, mereka juga mahu ingin dikenali sebagai pengeluar pakaian tidak perlu digosok dan menjanjikan keselesaan optimum. Jika jenama antarabangsa seperti Zara dan H&M diminati kerana konsep masing-masing, tidak mustahil jenama kami bakal mengorak langkah yang sama.

“Walaupun kami turut menentukan mengenai rekaan tetapi setiap padanan adalah idea pereka kami yang disesuaikan mengikut keadaan di Malaysia. Kami juga banyak merujuk majalah antarabangsa bagi mendapatkan gaya terkini wanita,” jelas Farah Ilyana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 11:21 AM