NURUL (kanan) berbincang dengan Amirah mengenai rekaan terkini Mimpikita.
NURUL (kanan) berbincang dengan Amirah mengenai rekaan terkini Mimpikita.
 NURUL (kiri) dan Amirah saling berkongsi idea mengenai rekaan busana.
NURUL (kiri) dan Amirah saling berkongsi idea mengenai rekaan busana.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Melihat lakaran busana ilham pereka muda ini sememangnya ia menggambarkan cita rasa pemiliknya. Pemilihan fabrik berkualiti ditambah potongan menawan menjadikan helaian pakaian pengantin ini terletak cantik pada tubuh si pemakai.

Tidak hairan jenama ini menjadi pilihan mempelai yang ingin melangsungkan perkahwinan sama ada berkonsepkan tradisional, Inggeris atau dalam taman.

Bermula dengan rekaan busana kasual serta sedikit sentuhan tradisi Mimpikita memulakan rekaan pengantin pada 2012. Ia bermula apabila kawan rapat yang juga pelanggan meminta untuk menghasilkan busana mempelai.

“Pengalaman yang diperoleh ketika menghasilkan pakaian kasual ditambah ilmu menerusi pembacaan dan persekitaran digabungkan lantas menghasilkan rekaan yang mampu diterima semua. Potongannya tidak keterlaluan, sederhana namun membuatkan si pemakai tampil anggun menawan,” kata Nurul Afidah Zulkifli, 33, ketika ditemui di butik Mimpikita di Bangsar.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai rekaan, Nurul yang gemar melancong turut menggunakan peluang melihat budaya masyarakat termasuk keunikan busana untuk diadaptasi bersesuaian dengan cita rasa wanita. Namun ia bukan diambil seratus peratus sebaliknya diubahsuai menerusi potongan dan perincian agar ‘kena’ dengan budaya masyarakat Malaysia.

“Pada akhirnya apa yang saya hasilkan haruslah berbeza dengan yang ada di pasaran. Misalnya saya menggunakan fabrik sifon dan renda Perancis untuk tampil mewah bergaya. Pemilihan fabrik renda ini membuatkan mempelai tampil anggun dalam apa juga situasi. Ini kerana fabrik renda dengan perincian yang lengkap sudah mencukupi tidak perlu tambahan manik atau batu permata,” katanya yang turut menggunakan krepe berkualiti untuk mereka yang inginkan kelainan.

Melihat rona krim dan putih yang dipakaikan pada patung serta koleksi yang tergantung pada sudut butik jelas menggambarkan cita rasa eksklusif pereka apabila menampilkan warna mewah sebagai pilihan. Sebenarnya rona lembut ini hadir daripada cetusan idea dan keinginan mempelai sendiri. Menyedari ramai wanita gemarkan rona pastel, Nurul yang juga Pengarah Kreatif Mimpi­kita menggunakan kreativiti bagi menghasilkan potongan unik agar ia tampil menyerlah.

“Ramai beranggapan warna lembut akan membuatkan mempelai kehilangan serinya. Namun jika rekaan bersesuaian bentuk tubuh, warna kulit dan karakter mereka, pastinya ia nampak mewah. Ditambah pula dengan perincian sederhana yang diketengahkan,” katanya yang turut mengusahakan butik bersama dua adiknya, Amirah Hanis, 31, dan Syahira, 28.

Mimpikita masih mengekalkan potongan yang menjadi pilihan ramai seperti gaun berpotongan piramid, A, puteri dan baju yang dipadankan kain. Ia sesuai dipakai untuk majlis pernikahan dan juga persandingan dalam taman atau dewan. Melihat koleksi yang nampak mewah ramai menyangka busana Mimpikita hanya untuk golongan atasan saja. Menyangkal dakwaan itu dan melihat nilai eksklusif setiap rekaan, sebenarnya ia dihasilkan untuk semua golongan.

Bercerita mengenai kecintaan mereka dalam fesyen, anak kedua, ketiga dan bongsu daripada empat beradik ini mula meminati fesyen sejak kecil sehingga ia bertukar menjadi satu agenda serius apabila menerima galakan ibu bapa tercinta.

“Kami tiga beradik perempuan memang rapat dengan ibu, Rabiah Sulaiman dan sering memerhatikan ibu mengusahakan butiknya, Bunga Citra. Ayah dan abang pula berkhidmat dalam bidang seni bina. Kemahiran kami mereka fesyen pakaian membuatkan ibu dan ayah yakin akan kemampuan dalam bidang ini lalu wujudlah butik Mimpikita ini,” kata Nurul.

Butik di Jalan Telawi 2, Bangsar menempatkan koleksi rekaan mereka sejak Mei 2008 yang mula diusahakan menerusi dalam talian dan hadirnya butik fizikal pada Januari tahun yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:03 AM