Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Banyak menimba pengalaman sepanjang bekerjasama dengan seorang pereka terkenal di Malaysia, Farah Salleh kini melancarkan jenamanya sendiri yang menggabungkan idea fesyen yang glamor dengan rekaan lebih segar, selesa dan mengikut aliran terkini.

Baru-baru ini, pereka muda penuh bertenaga ini merasmikan koleksi Resort iaitu pakaian sedia dipakai bagi 2015 (RTW 2015).

Menggunakan teknik rekaan yang teliti, selain perhatian penuh diberikan bagi menghasilkan perincian hebat, jelas menonjol dan boleh dilihat pada koleksi pertama jenama Farah Salleh.

Nilai estetika koleksi berkenaan banyak dipengaruhi kebudayaan Indonesia, selain menepati kehendak pereka yang mahukan penampilan kemas, ringkas dan lebih istimewa untuk menghasilkan imej yang dinamik dan anggun khususnya buat koleksi pertama ini.

Farah Salleh memperkenalkan 16 rekaan segar daripada koleksi Resort RTW 2015, baru-baru ini dalam usahanya memenuhi selera penggemar fesyen yang pelbagai.

Dalam menghasilkan rekaan yang menarik, Farah Salleh mendapat ilham daripada pelbagai perkara indah dalam hidup seperti seni bina, kebudayaan, kesenian dan dekorasi, seterusnya diterapkan ke dalam koleksinya yang mewah.

Koleksi Resort RTW 2015 daripada Farah Salleh menampilkan tenun sebagai fabrik pengenalannya yang eksklusif.

Menurut Farah, dia jatuh hati pada fabrik tenun yang berasal dari Indonesia. Tenun dipilih untuk menghasilkan koleksi ini kerana ia tidak mudah berkedut dan memudahkan kerja mencuci.

“Ia mempunyai ciri tersendiri, keistimewaan dan sebahagian besarnya dihasilkan dengan tangan. Setiap helaian fabrik tenun mengambil masa yang lama untuk dihasilkan. Inilah cara saya menunjukkan sanjungan iaitu dengan menjadikan tenun lebih menarik dan sesuai untuk semua acara,” katanya.

Wanita berasal dari Selangor ini mempunyai minat mendalam terhadap semua perkara berkaitan glamor, malah graduan Kolej Raffles ini menyifatkan jenamanya sebagai pakaian sedia dipakai untuk wanita bergaya yang sibuk dan mempunyai minat terhadap fesyen.

Farah menghasilkan gaya yang anggun dan sofistikated, tetapi mudah disarungkan dengan memberi fokus kepada potongan kemas, garisan ringkas dan siluet elegan bagi menghasilkan penampilan tidak lapuk ditelan zaman.

Komitmennya yang tidak pernah berbelah-bahagi terhadap perincian yang teliti dalam koleksi itu, cukup sempurna bagi wanita yang mahu tampil bergaya dengan mudah dan koleksi tepat bagi semua penggemar fesyen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:01 AM