ANTARA bumbung rumah yang rosak akibat ribut.
ANTARA bumbung rumah yang rosak akibat ribut.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Lebih 20 rumah rosak dalam kejadian ribut dan hujan lebat di Taman Jujur Sikamat, dekat sini, petang tadi.

Kejadian berlaku pada 4.20 petang mengakibat rumah milik 50 mangsa rosak teruk terutama atap akibat diterbangkan ribut.

Mangsa, Noraini Bidin, 60, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama 10 ahli keluarga sedang menikmati minuman petang.

"Angin kencang datang secara tiba tiba membuatkan saya sekeluarga ketakutan. Secara tiba-tiba sebahagian atap diterbangkan angin dan jatuh dalam rumah manakala sebahagiannya ke tanah.

"Tidak lama kemudian, hujan lebat menyebabkan dalam rumah kami basah akibat dimasuki air," katanya.

Katanya, walaupun kejadian sama pernah berlaku sebelum ini, namun ribut melanda petang tadi amat kuat.

"Sebelum ini ada dua kejadian angin kuat tapi cuma rosak dua atau tiga keping atap yang diterbang angin. Bagaimanapun kali ini separuh dari atap rumah diterbangkan angin dan pecah," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sikamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 8:39 PM