Zaid Salim


Kuala Nerus: "Ketika kejadian ribut, saya sedang berehat bersama keluarga sebelum terkejut apabila satu persatu atap diterbangkan angin kencang," ujar warga emas, Saharah Ibrahim, 62, yang menetap di Kampung Telaga Daing, di sini.

Katanya, kejadian ribut petang semalam itu adalah kali ketiga dialaminya sejak menghuni rumah berkenaan sejak lebih 50 tahun lalu.

"Ribut terakhir berlaku pada tahun 2003. Bagaimanapun ia hanya membabitkan kerosakan kecil apabila beberapa kepingan atap sahaja diterbangkan angin.

"Ribut kali ini sangat menakutkan kerana ia datang berserta ribut, hujan lebat dan petir. Kerana terlalu takut, anak lelaki saya melaungkan azan sebelum ribut reda 15 minit kemudian.

"Kejadian itu menyebabkan bahagian dalam rumah dipenuhi air hujan," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, semalam.

Suaminya, Kamaruddin Jusoh, 69, berkata, dia menganggarkan sebanyak lebih 20 kepingan atap kediaman diterbangkan ribut menyebabkan kerugian hampir RM1,000.

Dia yang bekerja sendiri mengharapkan kerosakan itu dapat dibaiki dengan segera.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, pihaknya akan melakukan membaik pulih dan menggantikan atap yang rosak secara bergotong royong.

"Kita cuba mendapatkan peruntukan daripada kerajaan pusat dan kini sedang mengumpulkan data jumlah keseluruhan kediaman yang rosak.

"Saya anggarkan lebih 100 rumah rosak akibat ribut antaranya di Kampung Telaga Daing, Taman Perumahan Telaga Daing, Kampung Seberang Takir, Kampung Baru Seberang Takir, Bukit Tok Beng, Teluk Ketapang dan Tok Jembal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 2:02 PM
Kamaruddin Jusoh, 69 (kanan) bersama isterinya Zaharah Ibrahim, 62, melihat bumbung rumah yang rosak dibadai ribut dalam kejadian  petang semalam di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir. FOTO GHAZALI KORI
Kamaruddin Jusoh, 69 (kanan) bersama isterinya Zaharah Ibrahim, 62, melihat bumbung rumah yang rosak dibadai ribut dalam kejadian petang semalam di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir. FOTO GHAZALI KORI