Batu Pahat: “Saya yang baru pulang dari masjid ketika itu hanya mampu melihat sebahagian atap rumah diterbangkan angin satu persatu,” kata Iserom Siber, 63, mangsa ribut di Kampung Parit Gantong, Seri Merlong, Rengit di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, ribut berserta angin kencang selama lebih 15 minit itu turut menyebabkan 12 lagi rumah penduduk terbabit terjejas teruk.

Menurut Iserom, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari masjid selepas menunaikan solat Zuhur dan mendapati angin kencang berlaku di kawasan kampungnya, namun tidak menyangka rumahnya turut terjejas sama.

“Ketika berada di masjid, hujan begitu lebat disusuli angin kencang, namun tidak menyangka berlaku ribut yang menyebabkan ada rumah rosak.

“Sebaik tiba di rumah, saya sempat melihat bumbung atap saya diterbangkan angin kuat. Terkejut dengan keadaan itu saya terus bergegas masuk kerana bimbang dengan keadaan anak dan dua orang cucu saya yang berada di dalam rumah,” katanya.

Menurut Iserom, dia lega mendapati anaknya Julia, 27, dan kedua-dua cucunya Nazura Kalisa Anuar, 3 dan Zulaika Kalisa, 2, berada dalam keadaan selamat.

Katanya, dia juga terkejut apabila diberitahu anaknya yang tidak mengetahui sebahagian bumbung rumah diterbangkan angin kerana bersembunyi di dalam bilik di bahagian dapur.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat, Adnan Md Yassin berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terhadap jumlah sebenar dan kerugian yang ditanggung mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 5:01 AM