MANJA pernah menjadi pembantu kepada jurulatih berpengalaman, Abdul Rahman Ibrahim ketika Perlis bersaing dalam Liga Super 2006. FOTO Ihsan Kelantan FC
MANJA pernah menjadi pembantu kepada jurulatih berpengalaman, Abdul Rahman Ibrahim ketika Perlis bersaing dalam Liga Super 2006. FOTO Ihsan Kelantan FC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Bekas pengendali Perlis, Manja Man diumum sebagai ketua jurulatih Kelantan FC musim ini.  

Pengumuman itu disahkan dalam laman sosial Facebook rasmi pasukan, TRW Kelantan FC, malam tadi.

Manja yang juga bekas pemain pertahanan Kedah dan Perlis era 80an itu dipilih bagi mengendali The Red Warriors yang bersaing di Liga M3 yang kini dijenamakan sebagai Liga A1 Semi Pro selepas gagal meneruskan aksi Liga Super musim 2024/2025.

Manja berpengalaman melatih pasukan Perlis tahun 2006 dan dilihat mampu melatih pemain muda dan tempatan sebagai keutamaan beliau.

Beliau juga berpengalaman menggilap ramai 'ubi muda' sewaktu melatih pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis menghadapi kejohanan bola sepak antara pusat pengajian tinggi dari tahun 2012 hingga 2016.

Di bawah bimbingan Manja juga, UiTM Perlis muncul juara dua kali pada tahun 2012 dan 2013 dan naib juara pada tahun 2014 hingga 2016.

Beliau juga pernah menjadi pembantu kepada jurulatih berpengalaman, Abdul Rahman Ibrahim ketika Perlis bersaing dalam Liga Super 2006.

Kehadiran Manja diharap dapat mengembalikan kegemilangan TRW bagi sepak mula liga bermula Jun ini.

Manja dalam kenyataan turut optimis mahu membawa skuad kijang merah kembali beraksi di Liga Super musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 4:13 PM