Kuala Lumpur: Kesungguhan Pahang untuk menebus kekecewaan musim ini cukup ketara apabila merekod kemenangan kedua dalam saingan Piala Malaysia dengan menewaskan PKNS FC 2-0 kelmarin.

Terlepas peluang untuk muncul juara Liga Super serta tersingkir di suku akhir Piala AFC baru-baru ini membuatkan mereka sudah tiada pilihan selain mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia jika tidak mahu menutup kempen musim ini dengan tangan kosong.

Jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan berkata, mereka kini mengalih tumpuan sepenuhnya dalam usaha melepasi halangan Kumpulan D Piala Malaysia lebih awal selepas kecewa di pentas AFC.

“Memang kami kecewa selepas tersingkir dalam kejohanan Piala AFC dan sebelum itu terlepas peluang terbaik untuk menjadi juara Liga Super.

“Jadi saya fikir Piala Malaysia adalah medan terbaik kami untuk membawa pulang satu trofi. Kami akan cuba mengumpul mata (saingan kumpulan) secepat yang mungkin kerana kami mahu layak ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia,” katanya.

Hasil kemenangan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang kelmarin, skuad Tok Gajah antara dua pasukan selain juara Liga Super Johor Darul Ta’zim yang mengumpul mata penuh selepas dua perlawanan.

Bagaimanapun aksi menentang PKNS FC bukan mudah apabila mereka terpaksa menanti sehingga minit ke-59 untuk mendahului permainan menerusi jaringan Mohd Azamuddin Akil sebelum Dickson Nwakaeme melengkapkan kemenangan dengan menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan babak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:16 AM