Petaling Jaya: Pahang mahu memastikan kekecewaan terlepas kejuaraan Liga Super dan Piala FA tidak berulang dalam saingan mempertahankan Piala Malaysia bermula bulan depan.

Pahang sekadar bergelar naib juara kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) apabila gagal mengutip mata penuh dalam perlawanan terakhir Liga Super selain gagal mempertahankan Piala FA apabila disingkirkan Kelantan di separuh akhir.

“Piala Malaysia kejuaraan terakhir musim ini. Kami perlu menebus kekecewaan Liga Super dan Piala FA. Kami akan berusaha bersungguh-sungguh dengan menjalankan persiapan rapi.

“Piala Malaysia satu-satunya kejuaraan yang boleh kami hadiahkan kepada penyokong yang setia bersama pasukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pahang FC Sdn Bhd, Fahrizal Hasan.

Pahang dilihat tidak mempunyai masalah mara ke suku akhir apabila diundi dalam Kumpulan D bersama-sama PDRM, Pulau Pinang dan PKNS FC.

“Tiada perlawanan yang mudah dalam Piala Malaysia kerana ia piala berprestij. Semua pasukan dan pemain pastinya mahu memberikan yang terbaik,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan Pahang hanya membawa 15 pemain ke Tajikistan untuk aksi suku akhir Piala AFC, Fahziral menjelaskan masalah kecederaan dan kontrak pemain Piala Presiden yang sudah tamat menimbulkan kesukaran.

“Malah kami perlu merehatkan beberapa tonggak utama pasukan untuk menghadapi Piala Malaysia. Kami perlu melindungi aset (pemain) yang ada kerana Piala Malaysia menjadi keutamaan untuk kami pertahankan kejuaraan,” jelasnya.

Pahang tewas 0-4 kepada kelab Tajikistan, FC Istiklol pada suku akhir pertama Piala AFC awal pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 9:22 AM