ZAINAL (kanan) mahu anak buah lupakan Liga Super.
ZAINAL (kanan) mahu anak buah lupakan Liga Super.
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Selepas gagal menjulang Piala Liga Super musim ini, Pahang kembali fokus pada saingan suku akhir pertama Piala AFC bertemu kelab Tajikistan, Istiklol FC di Stadium Republican Central, Dushanbe, esok.

Kegagalan itu sudah dilupakan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan bagi misi mencatat keputusan terbaik di gelanggang lawan.

Kapten Pahang Mohd Razman Roslan berkata, gelaran naib juara Liga Super sememangnya amat perit diterima biarpun peluang sudah terbuka untuk menjulang piala itu.

Katanya, namun kegagalan itu menjadikan penyuntik semangat pemain beraksi lebih mantap pada suku akhir Piala AFC.

“Kami memang kecewa kerana kerana kegagalan menjulang piala Liga Super selepas kali pertama dan terakhir melakukannya pada 2004.

“Tapi perjuangan kami tidak berhenti di sini sebaliknya perlu kekal fokus berdepan Istiklol FC untuk memastikan Pahang melangkah lebih jauh pada saingan Piala AFC musim 2015,” katanya.

Mohd Razman mahu rakan sepasukan bersedia mengharungi perlawanan lebih getir itu kerana beraksi di halaman lawan.

Prestasi terbaik rakan sepasukan diharap dapat dipersembahkan untuk menyekat tuan rumah daripada mencatat kemenangan besar.

“Saya harap jentera pasukan kali ini lebih bersedia mengekang asakan tuan rumah dan sekurang-kurangnya mencatat seri sebagai bekalan selesa apabila beraksi di Kuantan 16 September ini ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 8:40 AM