PEMAIN Negeri Sembilan, Gustavo Dos Santos (kiri) melepasi kawalan pemain Melaka United pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO Bernama
PEMAIN Negeri Sembilan, Gustavo Dos Santos (kiri) melepasi kawalan pemain Melaka United pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) akan menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin untuk mengintai slot ke saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023, biarpun peluang yang sama dimiliki pasukan Sabah FC dan Terengganu FC (TFC).

Perebutan mengisi slot ke saingan berprestij itu musim depan kini dilihat semakin sengit berikutan ketiga-tiga pasukan berkenaan mencatat kemenangan masing-masing dalam perlawanan Liga Super, malam tadi.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Devan menegaskan bahawa skuad bimbingannya tiada jalan lain untuk berpeluang mengisi slot berkenaan kecuali memastikan kemenangan dicapai pada aksi terakhir liga menentang Sri Pahang FC, di gelanggang lawan, Sabtu ini.

Katanya, meskipun bersaing ke saingan Piala AFC itu tidak diletakkan dalam sasaran awal pasukannya, namun dengan kedudukan pasukan di tangga keempat carta liga dan peluang yang terbuka bagi mengisi slot itu, seharusnya ia tidak boleh disia-siakan.

"Oleh itu, tiada cara lain kecuali Negeri Sembilan perlu menang ke atas Sri Pahang pada aksi terakhir Liga Super di tempat lawan, Sabtu ini, sambil kita menanti keputusan perlawanan membabitkan Sabah dan Terengganu.

"Hakikatnya, Negeri Sembilan masih berpeluang untuk mengisi slot ke saingan Piala AFC musim depan dan kita akan berusaha sebaik mungkin untuk layak.

"Janji kita adalah untuk mempamerkan prestasi dan persembahan yang baik bagi mendapatkan kemenangan ketika menentang Pahang nanti," katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Melaka United FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Dalam pertembungan itu, Negeri Sembilan menewaskan Melaka, 2-0, hasil jaringan Nasrullah Hanif Johan pada minit ke-34 dan Gustavo Dos Santos pada minit ke-86.

Mengulas lanjut, pengendali berpengalaman itu yang membawa skuad Hobin Jang Hobin menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu, berkata andai pasukannya berjaya layak ke saingan Piala AFC 2023, ia suatu pencapaian yang besar dan luar biasa pada musim pertama dalam Liga Super.

"Atas kertas, Negeri Sembilan tidak sama dengan pasukan lain terutama yang biasa duduk dalam kelompok teratas carta, memang cabaran bagi kita, tapi pemain telah membuktikan mereka berjaya menyahut cabaran.

"Pemain berjaya mempamerkan prestasi yang baik dan membuktikan mampu untuk pergi jauh (saingan Piala AFC)," katanya pengendali kelahiran Bahau itu.

Mengenai aksi anak buahnya malam tadi, Devan berpuas hati meskipun terdapat beberapa pemain yang dilihat sedikit keletihan.

"Saya terpaksa melakukan beberapa pertukaran berikutan beberapa pemain seperti (Matheus) Alves yang dilihat keletihan dan tidak dapat beraksi dengan baik, namun pemain yang dibawa masuk memberikan persembahan terbaik dan membantu kepada kemenangan," katanya.

Negeri Sembilan kini berada di tangga keempat carta Liga Super dengan mengumpul 41 mata, sama mata dengan TFC yang berada di tangga ketiga manakala Sabah ditangga kedua dengan 42 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 10:51 AM