Kuala Lumpur: Litar basah nyata bukan halangan buat pasukan MK Possum Racing apabila mempamerkan kehebatan untuk muncul juara Pusingan 2 Kejuaraan KBS MAM Kapcai Endurance 2015 di Litar Go Kart Sepang semalam.

Bersaing dalam Kelas Terbuka, pelumba MK Possum Racing Team menamatkan 92 pusingan litar dalam pertarungan dua jam untuk mengatasi cabaran pasukan CPFX-PB2R, yang menduduki tempat kedua dengan 89 pusingan.

Kelas 3 untuk jentera di bawah 150cc diungguli pasukan Prince Lubricants Racing yang beraksi cemerlang untuk menamatkan 90 pusingan bagi menewaskan pelumba pasukan Siong Nazazuma, yang muncul naib juara selepas ketinggalan satu pusingan. Tempat ketiga milik Azrul Tebuan Motorsport yang turut menamatkan 89 pusingan.

Diwakili Muhammad Hanif, Muhammad Hamid dan Mohd Hafiz, pasukan Fast Run Garage 1 muncul juara Kelas 1 dengan menamatkan 105 pusingan untuk mencatat kemenangan tipis ke atas pasukan KW BGO MOTORSPORTS 1 yang turut menamatkan 105 pusingan.

Tempat ketiga dimenangi pasukan IKBN CHEMBONG TJB, yang melakukan 103 pusingan.

Pasukan KW BGO Racing Team 3 yang mencatat jumlah pusingan tertinggi sebanyak 110 pusingan, muncul juara kelas 2 dengan diikuti pasukan MZ2 Bikes di tempat kedua dan SPG Racing Team 1 ketiga.

Pusingan Ketiga Kejohanan Kebangsaan KBS MAM Kapcai Endurance akan berlangsung di Pekan, Pahang pada 3-4 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:01 AM