HAFIZH Syahrin mendahului kategori MP150 Elite pada tahun lalu. FOTO SIC
HAFIZH Syahrin mendahului kategori MP150 Elite pada tahun lalu. FOTO SIC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perlumbaan lasak dua roda pada waktu malam iaitu BRAAAP 2 Hours Endurance 2022 bakal menemui peminat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di pada 11 Disember depan.

Saingan yang menghimpunkan 44 pasukan itu sudah pastinya ditunggu-tunggu peminat sukan permotoran di negara ini kerana menyajikan pertarungan hebat sambil menampilkan aksi mendebarkan dan menghiburkan buat penonton.

Menurut Presiden BRAAAP Motorsports, Azuan Izadee, perlumbaan terbabit bakal menjadi acara tahunan sekali gus memeriahkan lagi kalendar sukan permotoran negara.

"Kami amat teruja dan terharu dengan sambutan yang cukup memberangsangkan ini. Ia menguatkan semangat kami bukan saja untuk menjadikan perlumbaan BRAAAP 2 Hours Endurance 2022 ini sebagai acara tahunan.

Pada masa sama, turut menjadikan perlumbaan ini sebagai acara perdana dalam kalendar sukan permotoran negara," katanya.

BRAAAP 2 Hours Endurance 2022 adalah perlumbaan khas untuk jentera kapcai atau moped dan 'sportbike' membabitkan150cc - 400cc.

Berlangsung di Litar Selatan SIC, perlumbaan terbabit disertai pelumba professional dan amatur tempatan termasuklah jemputan dari luar negara .

Secara khusus, enam kategori perlumbaan bakal dipertandingkan di mana masing-masing adalah untuk saingan 'endurance' dan perlumbaan 'sprint'.

Sementara saingan 'endurance' adalah gandingan dua pelumba yang menunggang satu jentera secara bergilir-gilir untuk mencatat bilangan lap terbanyak dalam tempoh 2 jam, perlumbaan 'sprint' adalah saingan individu sebanyak 8 pusingan.

Tiga kategori untuk saingan 'endurance' adalah kelas MP150 dan MP150 Elite untuk jentera Moped 150cc empat lejang; dan kelas SB150 untuk jentera 'sportbike' 150cc empat lejang. Tiga kategori untuk perlumbaan 'sprint' pula adalah kategori SB250 dan SB250 Elite untuk jentera 250cc; dan SB400 untuk jentera 400cc.

Selain trofi, hadiah berupa produk dan wang tunai turut disediakan untuk tiga pemenang utama bagi setiap kategori.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 6:37 PM