PEMENANG meraikan kejayaan.
PEMENANG meraikan kejayaan.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Gandingan hebat pelumba Muhd Haiekal Akmal dan Safrizan Buang dari pasukan Capit Racing Team 4 menjadi tumpuan apabila menjuarai Kelas Terbuka saingan pertama Kejohanan KBS-MAM Kapcai Endurance 2015 di Melaka International Motorsport (MIMC) Durian Tunggal, semalam.

Penyelaras kejohanan Nor Lina Ayob berkata, sebanyak 84 pasukan membabitkan 188 pelumba bersaing dalam dua perlumbaan Kelas 1 dan Kelas 2, manakala Kelas 3 dan Kelas Terbuka pula membabitkan empat kategori yang dilangsungkan secara endurance selama dua jam.

Perlumbaan pertama bagi Kelas 1 menyaksikan pasukan AZ Racing Design yang diwakili Muhammad Qusyairi Ramani dan Muhammad Nur Azmi Noordin muncul juara selepas menamatkan 89 pusingan di litar sepanjang 1.5km.

Manakala tempat kedua dimenangi pasukan Capit Racing Team 1 (88 pusingan) dan ketiga TSR SMW 1 (88 pusingan).

Sementara itu, perlumbaan Kelas 2 menyaksikan Nano Organizer Team menduduki tempat teratas podium selepas melakukan 92 pusingan, diikuti Raden Motorsports Melaka kedua dipisahkan hanya 57 saat, dan FMC Pagoh Motorsport 1, ketiga selepas menamatkan 91 pusingan.

Dalam pada itu, aksi sengit dipamerkan pada sebelah petang menyaksikan pertarungan membabitkan 40 pasukan dalam Kelas 3 dan Kelas Terbuka.

Begitupun, pasukan Capit Racing Team 4 yang beraksi dalam Kelas Terbuka muncul pemenang keseluruhan diikuti pasukan Motul Yamaha YY Pang (kedua) dan PMP Motopart 2 (ketiga) selepas ketiga-tiga pasukan itu melakukan 100 pusingan sepanjang 2 jam perlumbaan.

Sementara itu, Mohd Khuzaimi Mahmood dan Muhammad Syuzaili Ashari yang mewakili Capit Racing Team 3, muncul juga Kelas 3 mengatasi pasukan Amat Ayam Racing dan FMC Pagoh Motorsport 2, masing-masing kedua dan ketiga.

Capit Racing Team 4 dari Johor dilihat antara pasukan paling menyerlah pada saingan di Melaka, sekali gus muncul juara keseluruhan namun tetap dicabar sengit pasukan lain.

Hadiah disampaikan Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Salleh Ramli.

Sementara itu, pengurus pasukan Raden Motosport dari Merlimau Azahar Abu Bakar berkata, kejohanan memberi banyak impak terutamanya pendedahan kemahiran bakat muda dalam sukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 8:27 AM