SEORANG askar berusaha memadamkan kebakaran di kawasan tanah gambut di kampung Suak Raya di Aceh Barat semalam. - Reuters
SEORANG askar berusaha memadamkan kebakaran di kawasan tanah gambut di kampung Suak Raya di Aceh Barat semalam. - Reuters

Jakarta: Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) memberi amaran kebakaran hutan di negara itu mungkin merebak dengan musim kemarau berterusan beberapa bulan lagi.

Beberapa kebakaran hutan yang dikesan di wilayah Aceh sudah menyebabkan beberapa kawasan dilanda jerebu.

Sebanyak 64 hektar belukar dan hutan musnah dalam kebakaran di Aceh dan ramai penduduk mendapat rawatan ke hospital akibat masalah pernafasan.

“Kemuncak musim kemarau dijangka pada Ogos dan September ini, jadi ancaman kebakaran hutan dan belukar akan meningkat,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho semalam.

Kebakaran di Aceh bermula pada minggu lalu dan pihak berkuasa masih berusaha memadamkan api di beberapa kawasan.

Katanya, sehingga petang kelmarin imej satelit menunjukkan sebanyak 170 titik panas dikesan di Indonesia.

Indonesia sering dilanda kebakaran hutan dan belukar yang berpunca daripada aktiviti membersihkan hutan untuk aktiviti pertanian.

Pada 2015, Indonesia dilanda kebakaran hutan antara terburuk dalam sejarah yang menyebabkan jerebu tebal melanda beberapa negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura.

Kejadian itu menyebabkan Indonesia mengambil beberapa langkah drastik dan berjanji bencana seperti itu tidak akan berulang kembali. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 11:15 AM