Oleh Bashah Zainol Abidin


Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe (gambar) mahu barisan pemainnya memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong dari Singapura apabila bertemu LionsXII pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia, malam ini.

Menurutnya, juara Piala Malaysia musim lalu Pahang turut dikalahkan oleh lawan mereka dan ini membuktikan kekuatan lawan yang akan ditemui itu dan jika mereka mampu pulang dengan satu mata boleh dianggap satu kejayaan.

“Lawan kami esok (malam ini) bukanlah calang-calang pasukan yang boleh dijinakkan dengan mudah kerana mereka juga sudah membuktikan keupayaan dengan menjuarai Piala FA musim ini dengan mengalahkan Kelantan tanpa khidmat pemain import.

“Kami memang memiliki rekod baik beraksi di Stadium Jalan Besar tapi ia sudah menjadi sejarah dan apa yang akan berlaku pada perlawanan esok (malam ini) hanya akan ditentukan oleh kemampuan barisan pemain kedua-dua pasukan.

“Walaupun terpaksa beraksi tanpa tonggak pertahanan Bang Seung Hwan dan pemain tengah Syazwan Tajuddin saya yakin pengganti mereka mampu memikul tugas dengan baik untuk memastikan kami pulang dari Singapura dengan sekurang-kurangnya satu mata,” kata Cheng Hoe.

Seung Hwan terpaksa diketepikan bagi dua perlawanan awal Piala Malaysia kerana digantung permainan oleh FAM selepas menerima enam kad kuning ketika mengharungi Liga Perdana manakala Syazwan mengalami kecederaan buku lali.

“Saya yakin kami memiliki pengganti yang mampu memastikan prestasi kami tidak cacat ketika berdepan LionsXII kerana sebelum ini juga kami terpaksa beraksi tanpa khidmat dua pemain ini dan berjaya memastikan kemenangan ketika mengharungi liga.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:08 AM