Oleh Bashah Zainol Abidin


Alor Setar: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) II harus waspada dengan Bang Seung Hwan apabila berkunjung ke Stadium Darulaman untuk aksi pusingan ketiga Piala FA, malam ini.

Suntikan dua gol ketika menentang Pulau Pinang, Jumaat lalu, sewaktu berubah posisi sebagai penyerang, menyuntik keyakinan kepadanya untuk terus menyerlah.

Pemain import Korea Selatan itu mulakan kariernya sebagai pemain tengah sebelum ditukarkan ke posisi pertahanan tengah dan Jumaat lalu, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe meletakkannya sebagai penyerang utama.

“Saya tidak kisah di posisi mana saya bermain kerana sebelum ini pernah beraksi di semua posisi di Korea dan kini di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, dia sendiri tidak sangka dapat beraksi dengan baik sebagai penyerang utama walaupun pernah mencatat nama sebagai penjaring ketika beraksi di posisi lain.

“Saya rasa sudah serasi dengan tugasan sebagai penyerang utama dan tidak kaku meneruskan tugas baru ini,” kata Seung Hwan.

Mengenai lawan malam ini, dia berkata, Kedah harus menggunakan kelebihan beraksi di depan peminat sendiri untuk mencari kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:25 AM