Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tidak berdepan masalah untuk memulakan kempen Piala Malaysia dengan kemenangan 2-0 menewaskan Perak pada aksi Kumpulan B di Stadium Larkin, malam tadi.

Apa pun pujian harus diberikan kepada S Chanthuru yang menjadi pencetus kemenangan skuad Harimau Selatan selepas dua gol yang terhasil berpunca daripada gerakannya selain turut menjadi penjaring pada perlawanan itu.

Sebelum sepak mula aksi pembuka tirai saingan piala berprestij itu, majlis perasmian ringkas disempurnakan Naib Presiden I Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Zulkarnain Kamisan.

Perubahan taktikal dilakukan ketua jurulatih Johor DT, Mario Gomez apabila meletakkan Luciano Figueroa dan Hariss Harun di bangku simpanan selain merehatkan Safiq Rahim pada perlawanan itu tatkala memberi peluang kepada Shakir Shaari, Amer Saidin dan Chanthuru beraksi dalam kesebelasan utama.

Walaupun skuad Harimau Selatan bermula garang namun sedikit kelekaan di benteng pertahanan hampir dihukum pelawat pada minit ke-11 selepas Charles Souza Chad berjaya melepasi perangkap tetapi bola rembatan leretnya ditangkap kemas penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Tersentak dengan percubaan awal pelawat itu, anak didik Gomez mula mengemaskan serangan dan berhasil pada minit ke-17 apabila hantaran lintang Chanthuru tepat ke kepala Safee Sali yang menanduk masuk menewaskan penjaga gol, Azizon Kadir yang sekadar terpaku.

Tuan rumah menambah derita skuad bimbingan Vjeran Simunic selang empat minit kemudian selepas gerakan menarik Amri Yahyah yang menolak bola kepada Mahali Jasuli bingkas melakukan sepakan lintang tepat kepada Chanthuru yang tidak dikawal menanduk bola menewaskan Azizon.

Aksi babak kedua agak kurang menyengat dipamerkan tuan rumah yang memilih untuk mengendurkan serangan dan kesempatan itu cuba dikuasai pelawat dalam usaha merapatkan jurang gol.

Malah jaringan hampir dihasilkan pelawat pada minit ke-57 selepas Chad yang berjaya menyusup masuk ke dalam kotak penalti merembat kencang namun tiang sebelah kiri menjadi penyelamat ketika Izham Tarmizi sudah tertewas.

Sedar jaringan 2-0 masih belum selamat buat Johor DT, Gomez memasukkan Figueroa pada minit ke-60 untuk menguatkan jentera serangan dan mengeluarkan Amri manakala Hariss masuk menggantikan Shakir pada minit ke-64 bagi menguatkan posisi tengah.

Namun ia tidak mengubah kedudukan yang kekal dengan jaringan 2-0 memihak Johor DT untuk meraih tiga mata berharga di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:08 AM