GOMEZ (dua dari kanan) bersalaman dengan Simunic.
GOMEZ (dua dari kanan) bersalaman dengan Simunic.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) perlu melupakan seketika ‘pesta’ kemenangan menjuarai Piala AFC untuk kembali menumpukan perhatian terhadap aksi menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

Aksi tunggal saingan Kumpulan B Piala Malaysia itu dianggap sebagai medan terbaik buat skuad kendalian Mario Gomez untuk terus kekal di tangga teratas kumpulan walaupun sudah mengesahkan tempat di suku akhir.

Apapun Gomez terpaksa membuat rombakan dengan mengetepikan Luciano Figueroa dan Gary Steven Robbat yang mengalami kecederaan manakala benteng pertahanan skuad Harimau Selatan akan beraksi tanpa kelibat Marcos Antonio kerana terpaksa pulang ke Brazil atas urusan peribadi.

“Tidak gusar tanpa beberapa pemain itu. Saya ada pilihan untuk menurunkan barisan kesebelasan terbaik menentang Perak. Malah saya juga akan memberi ruang kepada pemain yang sering berada di bangku simpanan untuk diturunkan.

“Kami sudah layak ke suku akhir namun saya tidak mahu pemain terus selesa sebaliknya harus kekalkan kemenangan ketika berdepan Perak.

“Kesuntukan masa memaksa saya tidak dapat mengadakan latihan serius di Johor Bahru, sebaliknya sekadar latihan ringan,” katanya.

Gomez juga menegaskan walaupun Johor DT melakar sejarah selaku pasukan pertama dari Malaysia dan Asia Tenggara muncul juara Piala AFC, banyak lagi proses untuk memantapkan skuad itu perlu diperkemaskan.

Beliau menambah, setiap pemain tidak boleh sentiasa dibuai keselesaan sebaliknya perlu mempelajari teknik dan taktikal untuk memperbetulkan corak permainan yang kadang kala tampak hilang punca.

Katanya, teknik permainan yang lebih mantap akan diberi penekanan dari masa ke semasa dengan pembaharuan dari aspek taktikal terus diterapkan bagi memudahkan pemain Johor DT beraksi secara tersusun.

“Kami tidak boleh bergantung kepada corak latihan sama sebaliknya mesti ada pembaharuan bagi memastikan setiap pemain selesa menjalani latihan dan mendapat pengalaman baru.

“Tiada titik noktah bagi memantap skuad ini dan saya optimis pemain sentiasa dahagakan teknik dan taktikal lebih ampuh bagi memastikan momentum kemenangan terus dikekalkan apabila berdepan Perak, malam ini,” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 9:12 AM