Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tidak akan merelakan tiga mata terlepas di tangan Selangor apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi tunggal saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Malah pengendali skuad Harimau Selatan, Mario Gomez mahu pemainnya bersikap positif dan lebih tenang tanpa membuat kesilapan mudah yang membolehkan lawan mengambil kesempatan mencurimata.

Katanya, perlawanan itu penting untuk menghabiskan saingan pada bulan Ramadan sebelum disambung selepas sambutan Hari Raya bagi merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Pahang.

‘Tiga mata amat penting buat Johor DT pada perlawanan itu kerana kita tidak boleh kehilangan mata dan terus merapatkan jurang dengan Pahang kerana sebaik aksi disambung nanti ia adalah penentu sebenar pasukan mana bakal muncul juara liga.

“Johor DT seri 1-1 pada aksi pusingan pertama Februari lalu dan saya anggap ia sejarah dan aksi malam ini lebih penting untuk menebus kegagalan apabila sekadar meraih satu mata dan pemain tampak bertekad memberi sepenuh komitmen pada aksi itu nanti.

“Walaupun Selangor dilabel pasukan kuat dengan dibarisi pemain berkualiti namun kita perlu sentiasa berwaspada dan tidak terikut-ikut dengan corak permainan lawan kerana mereka bijak mengambil kesempatan,” katanya.

Gomez juga menegaskan Johor DT mendapat pengalaman berguna apabila mengharungi aksi persahabatan menentang kelab ternama Borussia Dortmund, Rabu lalu biarpun tewas 1-6 namun ia pendedahan terbaik.

Katanya, pemain mendapat[tips’ belajar cara permainan bola sepak dengan lebih mudah dan sepanjang latihan menjelang pertembungan penting itu jelas tampak keyakinan pada setiap pemain

“Walaupun tidak dapat menurunkan Hariss Harun dan Junior Eldstal yang masih mengalami kecederaan, ia tidak mencemaskan kerana sudah merancang taktikal menguatkan posisi tengah.

“Luciano Figueroa akan dipertaruhkan mengemudi barisan serangan dan saya sengaja tidak menyenarai pemain itu pada aksi persahabatan kerana mahu dia menumpukan aksi lebih penting menentang Selangor,” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 5:02 AM