ANTARA gelagat peserta pada pentas akhir.
ANTARA gelagat peserta pada pentas akhir.
ANTARA gelagat peserta pada pentas akhir.
ANTARA gelagat peserta pada pentas akhir.
ZIZAN membawa pulang RM150,000 dan trofi.
ZIZAN membawa pulang RM150,000 dan trofi.
Oleh Michelle Gun


Pengumuman Zizan Razak sebagai juara Super Spontan All Stars tidaklah mengejutkan walaupun pesaing terdekatnya, Johan mendahului pelawak itu dari segi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) pada awal program.

Terharu dengan kemenangan itu, Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razak Razizan Abdul kelihatan sebak sebaik saja pengacara Datuk AC Mizal mengumumkan namanya sebagai juara.

Pernah menjadi juara Super Spontan 2012, Zizan ketika ditemui di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam menganggap kejayaannya itu adalah untuk kumpulan Jozan yang dianggotainya dan Johan.

“Saya terharu dan kemenangan ini memang luar biasa. Pada mulanya saya sangkakan Johan akan menang berdasarkan kelebihannya dalam undian SMS. Bagaimanapun, saya menganggap ini rezeki daripada Allah SWT dan mengucapkan terima kasih kepada peminat Jozan, ahli keluarga dan rakan pelawak,” katanya.

Zizan berkata, penyertaannya di pentas Super Spontan All Stars bukan bertujuan untuk berebut gelaran juara, tetapi sebagai penghibur.

“Rakan pelawak lain semuanya hebat dan kami tiada niat mahu bersaing melihat siapa terbaik, tetapi sekadar mahu menghiburkan penonton. Sepanjang program ini berlangsung, kerjasama dengan pelawak lain berjalan lancar.

Cuma paling sukar ketika dikehendaki mengundi peserta untuk disingkirkan,” katanya.

Bintang filem Polis Evo itu mengakui sukar membuat lawak spontan meskipun sudah berpengalaman menyertai program komedi, Super Spontan dan Maharaja Lawak Mega.

“Permainan dalam Super Spontan All Stars mencabar, walaupun pernah melakukannya sebelum ini namun saya perlu memikirkan kelainan dan mengikut isu semasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zizan mendedahkan mendengar ura-ura produksi Polis Evo mempunyai perancangan untuk menghasilkan filem kedua.

“Kalau betul baguslah kerana diharapkan filem itu dapat menaikkan semula industri filem Malayu tempatan,” katanya.

Zizan turut menegaskan kutipan filem Polis Evo yang mencecahkan RM17.3 juta selepas 42 hari ditayangkan bukan disebabkan popularitinya, tetapi disebabkan pengarah, skrip dan barisan pelakon yang hebat.

Final Super Spontan All Stars yang bersiaran secara langsung di Astro Warna menyaksikan Zizan membawa pulang wang tunai RM150,000. Manakala Johan di tempat kedua menang wang tunai RM75,000. Mereka juga mendapat trofi.

Selepas sembilan minggu bersaing dengan 14 peserta, Zizan berjaya menewaskan Johan, Achey Bocey, Pak Yus, Rahim R2 dan Tauke.

Gelanggang akhir program realiti berkonsepkan komedi itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran kumpulan penyanyi De Fam dan Lawa Nie Geng. Program itu turut menampilkan Afdlin Shauki serta penyampai ERA FM, Ray dan Haniff selaku pengadil perlawanan manakala Amir Raja Lawak menjadi pembantu pengacara.

Pada acara itu, finalis yang dibahagikan kepada kumpulan Kungfu Kipidap dan Silat Dongibab dikehendaki menyelesaikan beberapa permainan iaitu Beku, Duduk Bongkok Berdiri, Dahiku Dahimu, Cerita Sampai Kecut dan Muzik Video Spontan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:01 AM