AWIE selaku pengulas jemputan.
AWIE selaku pengulas jemputan.
PERTEMBUNGAN Monyet Mafia dan Harimau Hipster.
PERTEMBUNGAN Monyet Mafia dan Harimau Hipster.
Michelle Gun


Minggu kedua Super Spontan Superstar Jumaat ini bakal memperkenalkan elemen istimewa iaitu Kalung Imuniti kepada peserta.

Pengulas, Afdlin Shauki berkata, kelebihan itu membolehkan peserta ‘bertuah’ terus kekal dalam program walaupun tersingkir.

“Malah, peserta berkenaan boleh menghadiahkan Kalung Imuniti diberikan kepada pihak lawan,” katanya.

Mengulas persembahan minggu pertama Super Spontan Superstar yang berlangsung Jumaat lalu, Afdlin berkata, ada beberapa peserta masih teragak-agak mengambil bahagian dalam permainan.

“Saya perhatikan mereka seolah-olah mengelak daripada bermain. Bagaimanapun, terdapat beberapa peserta baru yang berpotensi. Mungkin mereka bertambah yakin pada persembahan minggu depan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai program realiti itu, Afdlin berkata, musim kali ini memperkenalkan 60 jenis permainan namun, perubahan dilakukan berdasarkan sambutan penonton.

“Kami akan melihat balik persembahan minggu pertama bagi memperbaiki permainan minggu kedua. Saya berharap semua peserta dapat menunjukkan prestasi baik pada minggu depan,” katanya.

Persembahan minggu pertama Super Spontan Superstar di Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang itu menyaksikan tiada penyingkiran peserta daripada kumpulan Monyet Mafia dan Harimau Hipster.

Monyet Mafia dianggotai Johan (Kapten), Achey (penolong Kapten), Ali Puteh, Amyza Adnan, Kamal Adli, Julia Ziegler, Zukiee dan Altimet.

Harimau Hipster pula dibarisi Tauke (kapten), Abam (penolong Kapten), Syuk, Ozlyn, Fad, Zulin Aziz, Jamal dan Waris.

Dihoskan Datuk AC Mizal, acara minggu ini turut menyaksikan penyanyi popular Awie selaku pengulas jemputan.

Elak sebut perkataan tertampal di dahi

Persembahan pembukaan dimeriahkan oleh kumpulan Khalifah yang menyampaikan lagu Hang Pi Mana.

Pada acara itu, peserta dikehendaki menyempurnakan lima permainan iaitu Sketsa Berabjad, Maju Mundur, Pilihan Lain, Dahiku Dahimu dan diakhiri dengan Jamuan Cik Kiah.

Paling mencuri perhatian penonton adalah pertembungan Johan dan isterinya, Ozlyn dalam permainan Dahiku Dahimu.

Pasangan suami isteri itu dikehendaki melakonkan sketsa seorang setiausaha cuba meminta wang daripada majikannya yang kedekut untuk membeli keperluan pejabat.

Usaha mereka mengelak menyebut perkataan yang tertampal di dahi masing-masing membuat penonton ketawa hingga tidak kering gusi.

Acara selama satu jam setengah itu berakhir dengan kumpulan Harimau Hipster diumumkan sebagai juara minggu pertama.

Seperti musim lalu, juara program ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Persembahan mingguan diadili berdasarkan format permarkahan yang ditentukan sepenuhnya melalui undian SMS daripada penonton dan laman web rasmi www.superspontan.com.my.

Saksikan Super Spontan Superstar di saluran Astro Warna dan Mustika HD pada setiap Jumaat, jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 10:36 AM