FOTO Nurul Syazana Rose
FOTO Nurul Syazana Rose
Oleh Sudirman Mohd Tahir

Shah Alam: Dengan sekali lafaz pelakon, Raja Farah Raja Aziz, 27, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan Iskandar Ismail, 33, tepat 11.50 pagi, hari ini, di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

Mereka dinikahkan bapa pengantin perempuan, Raja Aziz Raja Ngah, disaksikan Pendaftar Pernikahan, Perceraian dan Rujuk Negeri Selangor, Ustaz Muhammad Ariffin Mohd Dalhal.

Dalam majlis itu Raja Farah menerima mas kahwin berupa tiga dinar emas beserta lima dulang hantaran.

Sementara itu, pihak Raja Farah pula membalas dengan tujuh dulang.

Majlis dihadiri ahli keluarga terdekat kedua mempelai, teman rapat serta wakil media.

Terdahulu, pelakon filem Aku Masih Dara ini mengikat tali pertunangan pada 9 Ogos lalu.

Ketika itu, Raja Farah masih berahsia berkenaan tempoh pertunangan dan identiti bakal suaminya.

Sementara itu, majlis persandingan bakal diadakan di hotel di Ampang, 13 September ini.

Raja Farah pernah mendirikan rumah tangga lima tahun sebelum bercerai pada 25 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2015 @ 3:54 PM