LAMARAN seakan-akan gaya mat salih mendapat kritikan pedas masyarakat umum.
LAMARAN seakan-akan gaya mat salih mendapat kritikan pedas masyarakat umum.
Oleh Sudirman Mohd Tahir dan Wahi Aziz

Shah Alam: “Saya tak rasa ada pihak media kecil hati.”

Itu reaksi pelakon dan pengacara, Hanis Zalikha, 24, ketika ditanya berkenaan jemputan terhad kepada pihak media bagi menghadiri majlis nikahnya yang berlangsung di sini, semalam.

“Sebab utama kenapa hanya beberapa pihak media yang diundang adalah majlis saya diadakan di rumah dan tempat sangat terhad. Tambahan pula, ibu bapa saya mahu meraikan rombongan lelaki. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menjemput rakan media yang rapat sahaja.

“Saya tidak rasa ada pihak media yang berkecil hati. Insya-Allah semuanya akan faham. Seperti majlis pertunangan tempoh hari, walaupun saya tidak menjemput rakan media, mereka masih boleh menemu bual dan mendapatkan gambar,” katanya.

Hanis sah bergelar isteri kepada pelakon, Hairul Azreen, 27, dengan sekali lafaz tepat jam 3.50 petang semalam.

Mereka dinikahkan bapa Hanis, Zainal Rashid Mohd Zain, 57, disaksikan Imam 2 Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Ustaz Mohd Syuhud Razali di kediaman pengantin perempuan, di sini.

Dalam majlis itu Hanis menerima mas kahwin sebanyak RM300 beserta wang hantaran berjumlah RM91,019.90 dan 11 dulang hantaran. Sementara pihak Hanis membalas dengan 11 dulang.

“Alhamdulillah, saya sangat lega apabila semuanya sudah selesai. Majlis yang dirancang juga berjalan lancar. Cuma sedikit risau apabila rombongan pengantin lelaki tiba lewat daripada waktu yang dijanjikan,” katanya.

Berkenaan wang hantaran yang diberikan, Hairul memberitahu ia sempena tarikh lahir Hanis iaitu 9 Oktober 1990.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran lebih 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga terdekat kedua mempelai, teman rapat serta wakil media.

Turut hadir beberapa rakan artis seperti Dafi, Zoey, Hafizul Kamal, Alam Wakaka dan Mat Redha selaku pembawa dulang hantaran pengantin lelaki.

Turut kelihatan, Yasmin Hani, Diana Danielle, Datin Nina Juren, Sari Yanti dan ramai lagi.

Majlis persandingan kedua mempelai akan diadakan pada esok malam di lokasi sama.

Sebelum mengikat tali pertunangan pada 21 Mac lalu, Hairul mencetuskan kontroversi apabila melamar Hanis di pentas akhir Gegar Vaganza yang berlangsung pada awal Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 9:44 AM