MOHD Daniel
MOHD Daniel
HM Digital

Melaka: “Memang saya tak belajar tinggi, sekolah pun setakat tingkatan tiga saja. Namun, minat memasak sejak kecil mendorong saya memberanikan diri untuk mengikuti kursus kulinari di sebuah pusat latihan swasta dan syukur sekarang ini keputusan dibuat itu mula membuahkan hasil,” kata Muhd Haikal Omar, 18.

Muhd Haikal berkata, kerana tidak minat belajar menyebabkannya gagal dalam peperiksaan Pentaksiran Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3) sekali gus risau sukar untuk mendapatkan pekerjaan berikutan tidak memiliki sebarang sijil akademik.

Remaja berasal dari Kluang, Johor itu, berkata, dia mengikuti kursus kulinari di institusi kemahiran ketika berusia 15 tahun dan bersyukur kerana ditawarkan jawatan sebagai pembantu cef di sebuah hotel di negeri ini selepas menamatkan pengajian.

“Saya baru tamat kursus April lalu dan ditawarkan pekerjaan di hotel ini. Sepanjang bekerja, saya banyak belajar pelbagai perkara kerana bidang ini sebenarnya amat luas dan tidak terhad kepada penyediaan makanan saja.

“Kalau ada rezeki dan modal mencukupi, saya bercadang untuk membuka restoran, namun sebelum itu saya mahu merantau ke luar negara untuk melihat proses penyediaan makanan di sana, sekali gus menambah pengetahuan dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui.

Rakannya Mohd Daniel Norazar, 18, juga mengikuti kursus di pusat latihan sama kini bertugas sebagai pembantu tukang masak di sebuah hotel, di sini, berkata dia mengikuti kursus dalam bidang masakan selepas disyorkan oleh guru kaunselor di sekolahnya.

“Memang saya akui tidak minat belajar di sekolah dan kerap ponteng, bermacam-macam tindakan disiplin dikenakan dan banyak kali diarahkan supaya menghadiri sesi kaunseling, namun semuanya tidak dapat mengubah perangai saya ketika itu,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 6:24 AM