Najib bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (kiri) melancarkan JPB 2017, semalam.
Najib bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (kiri) melancarkan JPB 2017, semalam.
Mohd Fauzi Abdullah dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Bera: Ibarat peluang kedua kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meneruskan pengajian di peringkat tinggi apabila Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017 yang dianjurkan terus membantu golongan tidak bernasib baik ke menara gading.

Pendapat itu diluahkan lepasan SPM dan ibu bapa yang ditemui dalam Majlis Pelancaran JPB 2017 di Padang Majlis Daerah Bera di sini, semalam, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Golongan terbabit melihat ia sebagai peluang mereka kembali bersaing dalam bidang pendidikan.

Pelajar lepasan SPM 2015, Nurul Atikah Ali, 18, dari Mentakab, Temerloh, berkata, peluang itu sebagai batu loncatan untuk meraih kejayaan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, dia yang mendaftar dalam program JPB 2017 diterima masuk ke Kolej Komuniti Bera di sini, dalam Sijil Kursus Akuakultur dengan yuran satu semester hanya RM200.

“Saya anggap ia peluang kerana saya bukan berasal daripada keluarga senang. Dengan yuran berpatutan, saya mampu melanjutkan pengajian dalam bidang diminati,” katanya.

Nurul Atikah yang bercita-cita menjadi penternak ikan air tawar berasa penganjuran JPB 2017 tepat pada masanya dalam usaha melahirkan generasi berpendidikan tinggi dalam semua sektor diperlukan negara.

Bagi Nasarudin Omar, 53, dia teruja sebaik mengetahui program itu dianjurkan dan menemani anak perempuannya mendaftar pengajian.

“Saya teman anak isi borang dan cuba fahami konsep JPB. Saya faham ia diwujudkan untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan, selain pelajar yang mendapat keputusan tidak memuaskan melanjutkan pengajian,” katanya.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya mengingatkan golongan Bumiputera supaya tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan tidak melanjutkan pengajian.

Katanya, JPB 2017 menyediakan peluang kedua kepada pelajar Bumiputera kurang berkemampuan di luar bandar dan pedalaman.

“Jika tahun lalu, kerajaan membantu 37,324 pelajar melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dan untuk tahun ini, kita sasar 50,000 pelajar mendapat peluang daripada program yang kita wujudkan,” katanya.

Beliau berkata, JPB 2017 membabitkan 13 rakan strategik, 18 universiti awam serta 100 sekretariat yang menjelajah ke seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 7:02 AM