ICSB menandatangani MoU dengan enam IPT bagi mendidik dan mewujudkan kesedaran berkenaan jenayah siber baru-baru ini.
ICSB menandatangani MoU dengan enam IPT bagi mendidik dan mewujudkan kesedaran berkenaan jenayah siber baru-baru ini.
Samadi Ahmad


Badan Pensijilan Keselamatan Siber Antarabangsa (ICSB) dengan kerjasama Institut Keselamatan Siber (CSI), Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) dan Majlis Pemerkasaan Pendidikan Negara (MPPN) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan enam institut pengajian tinggi bagi mendidik serta mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai berkenaan jenayah siber baru-baru ini.

Enam institusi pengajian tinggi (IPT) itu terdiri daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Alzette, Universiti Saito dan Universiti Perdana.

Presiden ICSB, Keen Fai Chew berkata, MoU itu memberi peluang kepada pelajar menyertai program yang ditawarkan secara percuma dan boleh dijadikan sebagai nilai tambah selain bidang dipelajari mereka di universiti.

Menurutnya, dalam era digital hari ini keselamatan internet sangat penting kerana pelbagai mesej sensitif seperti data peribadi, penyata akaun dan harta intelek perlu dilindungi daripada diceroboh serta dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, program ditawarkan ini menjadi satu daripada inisiatif bagi mendidik golongan muda supaya peka terhadap serangan siber seterusnya mampu mendidik masyarakat luar berkenaan jenayah moden yang bukan hanya berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia.

"ICSB berhasrat menambah baik struktur tadbir urus industri keselamatan siber yang mengikut piawaian dan menyediakan penyelesaian keselamatan komprehensif dalam membendung gejala serangan siber di negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Pendidikan dan Rangkaian Penyelidikan Keselamatan Siber UiTM, Dr Nor Masri Sahri berkata, pihaknya menyambut baik tawaran diberikan ICSB kerana program berkenaan boleh dijadikan sebagai nilai tambah kepada pelajar selepas menamatkan pengajian.

Menurutnya, MoU ini juga membuka peluang baharu kepada universiti untuk menawarkan kursus secara kolaborasi yang dijangka diadakan dalam masa terdekat dan menyasarkan penyertaan 500 pelajar.

Katanya, kursus ini diadakan antara tiga hingga enam bulan termasuk pelajar perlu menduduki peperiksaan bagi melayakkan mereka mendapat sijil.

"Pelajar yang menyertai program ini akan mendapat sijil dan menjadi nilai tambah kepada mereka ketika memohon pekerjaan selepas tamat belajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 6:49 AM