HERNANDEZ (kanan) pada sidang media di BayArena, semalam.
HERNANDEZ (kanan) pada sidang media di BayArena, semalam.

London: Bayer Leverkusen mengikat penyerang Mexico, Javier Hernandez dari Manchester United dengan harga dilaporkan £7.3 juta (RM46.7 juta), kelmarin.

Hernandez, yang menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Real Madrid, bersetuju dengan kontrak tiga tahun bersama kelab Bundesliga itu tepat pada masanya sebelum jendela perpindahan Jerman ditutup.

Pemain berusia 27 tahun itu berada di bangku pemain simpanan buat United ketika kalah 1-2 kepada Swansea City Ahad lalu, namun dia tidak beraksi dalam kesebelasan utama buat kelab Liga Perdana itu lebih setahun.

Dia kembali ke United hujung musim lalu selepas menjaringkan sembilan gol ketika bermain dengan Real, termasuk gol kemenangan pada suku akhir Liga Juara-Juara menentang musuh setempat Atletico Madrid, namun pengurus Louis van Gaal membenarkan pemain itu berpindah secara hakiki kali ini.

“Saya tahu dua liga terbesar di Eropah adalah Liga Perdana Inggeris dan La Liga Sepanyol dan kini saya mahu merasai pengalaman beraksi di Bundesliga,” kata Hernandez.

“Saya banyak mendapat tahu mengenai stadium fantastik di Jerman serta peminat yang unik di sini.

“Bundesliga mengamalkan corak serangan dan ia menarik minat saya.

“Bayer Leverkusen satu peluang besar buat saya dan berazam meraih sesuatu di sini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 10:26 AM