LUCAS HERNANDEZ
LUCAS HERNANDEZ
Agensi

MADRID: Atletico Madrid menafikan laporan bahawa mereka mengadakan perbincangan bersama kelab Bayern Munich yang ingin mendapatkan khidmat pemain pertahanan Lucas Hernandez.

Akhbar harian Sepanyol, Marca Rabu lalu melaporkan bahawa Hernandez akan menyertai pasukan juara Jerman itu dengan nilai perpindahan €80 juta (RM381 juta) apabila jendela perpindahan dibuka Januari ini.

“Berkenaan laporan diterbitkan Marca menerusi persetujuan yang dicapai bersama Bayern Munich dengan pemain kami Lucas Hernandez, Atletico Madrid menafikan wujudnya perbincangan bersama kelab Jerman berhubung hasrat Hernandez untuk meninggalkan Atletico Madrid,” katanya dalam satu kenyataan.

“Sebaliknya hubungan erat antara kami dan kelab Jerman itu turut menyebabkan Bayern Munich sendiri menafikan wujudnya perbincangan membabitkan dua pihak.”

Presiden Atletico Madrid, Enrique Cerezo memaklumkan: “Buat ketika ini Lucas Hernandez adalah pemain (Atletico) dan dia mahu terus bersama kami. Sejujurnya saya tidak mengetahui mengenai tawaran dari kelab Jerman itu. Kami sedang membentuk satu pasukan dan bukan menjual pemain.”

Marca berkata, pemain yang membarisi skuad juara Piala Dunia Perancis itu mengikat perjanjian sehingga 2024 bersama kelab zaman kanak-kanaknya itu pada Jun lalu dan dikatakan bersetuju mengikat perjanjian empat tahun bersama kelab Bundesliga selepas dimaklumkan bahawa dia adalah nadi utama pasukan.

Bayern akan membayar klausa pembelian penuh yang ditetapkan dalam kontraknya, lapor Marca.

Hernandez membuat penampilan pertamanya bersama Atletico pada Disember 2014 dan menjadi tonggak utama dalam skuad Diego Simeone, memainkan peranan utama buat skuad itu ketika melakarkan kejayaan di Liga Europa musim lalu sebelum mengukuhkan kedudukannya dalam skuad Perancis ketika menjulang Piala Dunia di Russia.

Sekiranya perjanjian mendapatkan Hernandez itu menjadi kenyataan bermakna dia akan menjadi pemain pertahanan kedua termahal dalam sejarah selepas Virgil van Dijk yang menyertai Liverpool dengan nilai bayaran yang dilaporkan £75 juta (RM396 juta) Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 1:54 PM