Dia mungkin gagal menemui sentuhan jaringan ketika turun menentang Hamburg SV namun Javier Hernandez memuji segala-galanya di Bundesliga termasuk rakan pasukannya biarpun sekadar melakarkan keputusan seri 0-0 Volksparkstadion.

Ketika ditemu bual oleh laman web bundesliga.com, pemain kebangsaan Mexico yang juga bekas penyerang Manchester United itu berkongsi pandangannya mengenai kebuntuan memecahkan benteng lawan ketika menentang Red Shorts dan mendedahkan bagaimana dia menyesuaikan diri dengan kehidupan di Jerman.

SOALAN (S): Javier Hernandez, anda sudah berada di Jerman lebih dua bulan. Apa pandangan anda mengenai Bundesliga?

Javier Hernandez (JH): Saya gembira beraksi di liga ini. Saya amat sukakannya. Disebabkan itu saya cuba untuk membiasakan diri dengannya dan cara kami bermain. Pada perlawanan di Volksparkstadion kami bermain dengan lebih baik. Malangnya kami tidak menjaringkan gol namun kami juga tidak melepaskan gol jadi perasaan itu bercampur-baur.

S: Apa pandangan anda mengenai stadium di Jerman?

JH: Saingan liga di Jerman sangat bagus dari semua aspek. Banyak peningkatan dan disebabkan itu saya berada di sini. Saya tahu saingan liganya amat kompetitif. Anda boleh pergi ke mana-mana stadium dan anda akan berdepan perlawanan yang sukar. Begitu juga jika anda bermain di tempat sendiri. Saya sangat sukakan liga ini.

S: Ada beberapa pemain dari Amerika Selatan beraksi di Jerman seperti Arturo Vidal dan Eduardo Vargas yang bermain dengan Hoffenheim. Adakah anda berhubung dengan mereka?

JH: Tidak. Saya tidak mengenali mereka. Saya hanya beraksi menentang mereka. Saya tidak pernah berada dalam satu pasukan bersama mereka. Satu-satunya pemain Amerika Selatan yang saya hubungi adalah rakan pasukan saya.

S: Rakyat Mexico begitu teruja dengan Bayer 04 Leverkusen kerana anda beraksi di sini?

JH: Saya amat gembira apabila ramai rakyat Mexico mengikuti perkembangan kelab ini kerana saya. Saya berterima kasih kepada mereka yang menyokong saya dan terus bersama saya serta mengikuti perkembangan saya dalam latihan dan perlawanan.

S: Apa yang anda boleh capai bersama Bayer Leverkusen musim ini?

JH: Kami perlu memikirkan satu perlawanan demi satu perlawanan. Kami mengutip satu mata tapi kami perlu berfikir mengenai mata seterusnya. Kami perlu memikirkan perlawanan seterusnya dan melihat apa yang perlu diperbaiki.

S: Rakan sepasukan anda menyatakan anda seorang yang amat tenang dan peramah. Bagaimana anda menggambarkan diri anda?

JH: Ya tepat sekali. Saya cuba memiliki hubungan baik bersama rakan sepasukan supaya keakraban itu akan kekal hingga ke bilik persalinan. Itu yang penting. Kami semua bersama dan kami mempunyai matlamat yang sama apabila berada di padang.

Nota: Artikel ini dipetik daripada laman web www.bundesliga.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 9:39 AM