JAVIER Hernandez (kiri).
JAVIER Hernandez (kiri).
Reuters

London: Penyerang West Ham United, Javier Hernandez (gambar) berazam membuktikan kebolehannya apabila kembali menjejakkan kaki ke Old Trafford apabila pasukannya berdepan Manchester United pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris, esok.

Pemain antarabangsa Mexico yang lebih dikenali sebagai Chicharito itu pernah mewakili United selama empat tahun sejak 2010, menjaringkan 59 gol sepanjang lebih 150 penampilan sekali gus membantu kelab terbabit memenangi dua gelaran liga dan layak ke final Liga Juara-Juara 2011.

Selepas semusim dipinjamkan ke Real Madrid, Hernandez berpindah ke kelab Jerman, Bayer Leverkusen pada 2015 dan menyertai West Ham bulan lalu.

Justeru, pemain berusia 29 tahun itu mahu mempamer apa saja skil yang dimilikinya pada perlawanan malam esok.

“Saya gembira apabila bakal memulakan babak kedua karier saya di Liga Perdana Inggeris,” kata Hernandez. “Saya masih lagi menyimpan pelbagai memori manis sepanjang empat tahun di mana saya menetap di Manchester...

“Kini, saya sangat seronok dapat kembali ke England... Saya akan cuba membuktikan kegembiraan serta keyakinan saya apabila beraksi nanti.

“Perlawanan menentang bekas kelab saya pasti menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Tetapi sekarang saya bersama pasukan baru dan juga episod baru dalam karier saya. Ia adalah saat penting dalam hidup saya.”

Hernandez berkata, dia lebih fokus untuk membantu West Ham mencapai impian daripada membandingkan keupayaan kedua-dua kelab.

“Saya memilih untuk tidak memikirkan perbezaan antara dua kelab ini,” kata Hernandez.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 10:28 AM