BUKAN saja karier nyanyian semakin meningkat, dia juga ditawarkan berlakon dalam Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium.
BUKAN saja karier nyanyian semakin meningkat, dia juga ditawarkan berlakon dalam Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium.
Oleh Ramlah Zainal


Bermula sebagai penyanyi di gereja, kehidupan gadis yang dicungkil bakatnya dari laman YouTube, Elizabeth Tan, 21, ini terus berubah sekelip mata.

Semuanya kerana populariti lagu cover Havoc nyanyian asal Joe Flizzow yang ditonton lebih 700,000 pengguna YouTube sekitar penghujung 2013.

Nama dan populariti Elizabeth yang memiliki ‘tone’ suara persis Yuna ini semakin meningkat menerusi single Knock,Knock yang juga ciptaan penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir.

“Secara peribadi, saya pun tidak sangka akan dikenali ramai seperti hari ini. Maklumlah, pada mulanya saya menyanyi hanya sekadar hobi dan untuk suka-suka saja.

“Namun, selepas memuat naik lagu Havoc dalam versi saya, banyak syarikat rakaman berminat menawarkan saya kontrak untuk bernaung di bawah pengurusan mereka.

“Selepas berbincang lanjut, saya memilih untuk bernaung di bawah Faithful Music dan terbaru, karier seni diuruskan Paranormal Talents. Selain itu, saya juga muncul dengan EP berjudul Maafkan Aku,” katanya.

Walaupun sudah dikenali sebagai penyanyi, Elizabeth tetap tidak melupakan minatnya untuk menceburi bidang lakonan.

“Pada peringkat awal, saya memang berhasrat untuk menjadi pelakon dan pengacara, tetapi nampaknya terpaksa akur rezeki lebih berpihak pada bidang lakonan ketika ini.

“Bagaimanapun, tuah terus menyebelahi saya apabila Usop Wilcha menawarkan saya watak utama dalam filem Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium.

“Usop menawarkan saya berlakon ketika bertemu saya yang membuat persembahan di Damansara sebelum ini

“Saya juga berdebar menanti maklum balas peminat pada penampilan pertama di layar perak itu. Filem itu juga akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, rezeki turut memihak kepada Elizabeth apabila dia dilantik sebagai duta satu produk kecantikan, baru-baru ini.

Dia yang mengikat kontrak selama setahun bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menjadi duta produk yang mensasarkan kepada golongan remaja itu.

Sementara itu, berbicara mengenai sisi peribadinya, Elizabeth berkata, dia masih belum memiliki teman istimewa.

“Buat masa ini, saya ingin fokus pada karier seni terlebih dulu kerana perjalanan dalam bidang seni baru saja bermula.

“Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki dalam bidang nyanyian dan lakonan sekali gus mengukuhkan nama dalam bidang seni tempatan. Terus terang, saya tidak mahu dikenali sebagai gadis Havoc atau artis bermusim saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:00 AM