Oleh Rodly Fadly


Kuala Lumpur: Penyerang import PDRM, Ali Ashfaq (gambar) mahu kembali mempamerkan bisanya sebagai penjaring gol dengan Pahang menjadi sasaran pertamanya apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Ali, dari Maldives, penjaring terbanyak PDRM musim lalu dengan 24 gol ternyata agak kemarau gol musim ini. Dia hanya menjaringkan 10 gol sepanjang Liga Super lalu yang mana rakan sepasukannya Dramane Traore muncul sebagai pemenang Kasut Emas dengan 20 gol.

“Saya memang tidak puas hati dengan rekod jaringan musim ini kerana saya menyasarkan 20 gol. Sebagai penyerang, 10 gol bagi satu musim terlalu sedikit, malah secara keseluruhan, prestasi saya kurang bagus musim ini jika berbanding musim lalu.

“Saya tidak ada jawapan di mana silapnya kerana saya sudah mencuba sedaya upaya. Mungkin juga kerana saya kerap dilanda kecederaan atau pemain lawan mengawal ketat pergerakan saya. Di samping itu beraksi menentang pasukan Liga Super lebih sukar berbanding Liga Perdana kerana semua pasukan seimbang keupayaannya.

“Bagaimanapun saya harap dapat membuktikan ketajaman sepanjang Piala Malaysia. Saya mahu menebus kehampaan itu dengan menjaringkan sebanyak gol mungkin dan membantu PDRM mara lebih jauh kali ini,” ujar Ali.

Bagaimanapun, Ali menegaskan, sasaran peribadi itu tidak akan menjadikan dirinya tamak atau berasa cemburu jika rakan sepasukan terutama Traore dapat menjaringkan gol.

“Kemenangan pasukan lebih penting daripada misi peribadi. Jika saya mendapat bola dan Traore berada dalam kedudukan lebih baik untuk menjaringkan gol, saya akan mengumpan kepadanya. Tapi, kali ini jika saya dapat peluang keemasan, saya tidak akan sia-siakan lagi,” ujarnya.

Mengenai perlawanan menentang Pahang, Ali mengakui ia perlawanan yang sukar bagi PDRM kerana mereka bukan saja perlu bermain di gelanggang lawan malah berdepan juara bertahan Piala Malaysia.

“Pahang pasukan berpengalaman dan saya sendiri perlu berdepan dengan pertahanan yang kental seperti Damion (Stewart) dan Rozman (Roslan). Bagi saya kami akan turun dengan misi untuk menang tapi seri pun memadai, menang pula satu bonus dan kekalahan perlu dielakkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:06 AM