Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang (gambar) mengambil tindakan berani apabila mempertaruhkan lima penerjun muda dalam skuad utama Sukan SEA Kuala Lumpur.

Zhuliang berkata, langkah itu yang terbaik dalam memberi peluang kepada bakat muda negara menterjemahkan kemampuan mereka di tanah air sendiri.

Katanya, biarpun cabaran itu besar buat kelima-lima penerjun berkenaan namun ia tepat untuk mengetengahkan kemampuan atlet muda dengan kejohanan besar.

“Ini peluang buat atlet muda menyahut cabaran. Mereka perlu meningkatkan usaha dan darjah kesukaran selepas ini.

“Penerjun muda negara ini yang akan menjadi harapan di masa depan. Bukan hanya untuk Sukan SEA tapi Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik,” katanya.

Antara lima penerjun yang bakal mengalas tugas negara di Sukan SEA nanti ialah Jason Sabilin, Gabriel Gilbert, Muhammad Syahmi Mohd Rezal, Hanis Nazirul Jayasurya yang masing-masing berusia 16 tahun selain Kimberly Bong, 15.

Zhuliang berkata, prestasi kelima-lima atlet berkenaan amat mengagumkan dan memberi petanda baik buat kem terjun negara.

Biarpun masing-masing belum ada pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa namun berdasarkan pemerhatian ketika sesi latihan, beliau yakin skuad muda negara mampu menyerlah.

Skuad terjun negara menyasarkan untuk menyapu bersih kesemua 13 pingat emas dipertandingkan - sesuatu yang dilihat bukan mustahil.

Malah Zhuliang sendiri menaruh keyakinan tinggi kepada atlet negara untuk merealisasikan sasaran itu.

“Misi skuad terjun tetap sama. Meraih emas setiap kejohanan yang disertai. Bukan hanya Sukan SEA, Sukan Asia, Kejohanan Dunia dan di masa saja, kami akan berusaha untuk menghasilkan emas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 12:18 PM