Reuters

Beijing: Usain Bolt dan Justin Gatlin kelihatan berada pada prestasi terbaik apabila mencatat masa terpantas pada separuh akhir 200 meter semalam sekali gus mencipta pertembungan pecut dinanti-nanti kali kedua pada Kejohanan Olahraga Dunia.

Bolt, yang mengalahkan Gatlin apabila mereka bertembung kali pertama tahun ini pada final 100m, kelihatan tenang malah sempat bersembang dengan pelari di sebelahnya ketika menuju ke garisan penamat untuk memenangi saringan separuh akhirnya dengan catatan pertama di bawah 20 saat tahun ini.

Pelari berusia 29 tahun itu, yang tidak kalah dalam acara kegemarannya pada kejuaraan utama global sejak menang emas 200m pada temasya Sukan Olimpik Beijing 2008 berkata, dia masih menyimpan sesuatu bagi final hari ini selepas mencatat 19.95 saat.

“Agak letih, seperti dijangka,” kata pemegang rekod dunia itu. “Hanya cuba berehat secukup mungkin dan melepasi saringan ini. Ketika ini saya berasa OK. Saya tidak bersungguh-sungguh di selekoh. Saya mungkin hanya berlari 90 peratus.”

Gatlin mencatat mata ketiga terpantas tahun ini 19.87s untuk memenangi saringan separuh akhir kedua bagaimanapun bermula pantas dan masih mampu memperlahankan rentak sebelum melepasi garisan penamat.

Pelari Amerika Syarikat berusia 33 tahun itu, yang rugi lima tahun dalam kariernya kerana penggantungan doping, tidak kalah dalam acara itu sejak 2013.

Pelari Britain kelahiran Anguilla, Zharnel Hughes mengatasi Nickel Ashmeade di garisan unuk memenangi saringan pertama dengan masa 20.14s untuk layak ke final pertamanya di samping pelari Jamaica itu (20.19).

Atlet Panama, Alonso Edward menduduki tangga kedua di belakang Gatlin dengan masa 20.02s untuk layak manakala pelari Afrika Selatan, Anasco Jobodwana sempat bersembang dengan Bolt ketika menduduki tangga kedua dengan catatan terbaik peribadi 20.01.

“Bagi saya, 200m adalah acara terbaik saya,” kata Bolt. “Saya hidup untuk bertanding acara ini, jadi saya tidak sabar menantinya. Saya yakin mampu bertindak baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 8:50 AM