BOLT (tengah) kepenatan selepas acara 100m.
BOLT (tengah) kepenatan selepas acara 100m.
Reuters

Beijing: Usain Bolt yang keletihan dan Justin Gatlin mara pada pertembungan pecut terbesar kedua mereka pada Kejohanan Olahraga Dunia apabila mudah memenangi saringan 200 meter, semalam.

Bolt yang mengatasi Gatlin untuk mengekalkan kejuaraan 100m di Stadium Sarang Burung Ahad lalu, meluru dari blok dan mendahului sepanjang larian sebelum memperlahankan rentak pada 15 meter terakhir untuk melepasi garian penamat dengan 20.28 saat.

Pelari Jamaica berusia 29 tahun itu berkata, dia masih berasa kesan daripada 100m namun sedia meningkatkan rentak pada separuh akhir hari ini sebelum memuncak pada final esok, yang mana dia mungkin boleh memenangi emas 200m kali keempat berturut-turut.

“Penat, penat, penat,” kata juara Olimpik dan pemegang rekod dunia itu kepada wartawan.

“Ini lebih bermakna buat saya. Saya agak bimbang mengenai tahap kecergasan dan perlu bekerja lebih gigih bagi 200m. Tapi saya seorang pelari dengan teknikal bagus bagi 200m jadi kita tunggu apa yang akan berlaku.

“Saya penat dan kaki masih lenguh, tapi saya mandi sekali lagi malam ini dan harapnya esok saya akan berada di sana.”

Gatlin yang tidak pernah kalah acara 200m sejak 2013 dan juara dunia 2005 bagi acara itu sebelum digantung kali kedua kerana doping, kelihatan lebih dominan pada saringan berikutnya mengekalkan prestasinya untuk menang dengan 20.19s.

Pelari Amerika Syarikat berusia 33 tahun itu, yang memiliki catatan terbaik tahun ini (19.57s) berkata, dia memperlahankan rentak di depan pelari Jepun, Abdul Hakim Sani Brown, yang menduduki tangga kedua dengan 20.35s.

“Final 100m amat sukar buat saya begitu juga secara emosi,” jelas Gatlin.

“Saya memburu acara 200m. Saya mempunyai dua hari untuk melaksanakannya. Perlumbaan agak perlahan tapi Sani mencabar saya. Pelari muda Jepun ini menakjubkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 8:11 AM