Singapura: Kerajaan Singapura semalam mengumumkan 11 September depan sebagai tarikh pilihan raya umum negara berkenaan - lebih setahun awal sebelum tarikh akhir pilihan raya.

Tarikh itu diumumkan selepas Presiden Tony Tan membubarkan Parlimen atas permintaan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Penganalisis berpendapat, parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Hsien Loong mahu mengambil kesempatan sempena ulang tahun kemerdekaan ke-50 negara itu untuk membaiki prestasi pilihan raya sebelum ini.

Hsien Loong adalah anak kepada pengasas PAP dan Singapura, mendiang Lee Kuan Yew yang meninggal dunia pada Mac lalu.

Parti itu mula berkuasa di Singapura enam tahun sebelum negara itu merdeka pada 1965.

Pada pilihan raya umum 2011, PAP memperoleh peratusan undi rendah akibat ramai penduduk tidak berpuas hati dengan kos hidup yang tinggi dan isu penghijrahan.

Isu berkenaan dijangka sekali lagi menjadi kempen utama parti bertanding pada pilihan raya kali ini.

Tarikh akhir parti pemerintah mengadakan pilihan raya adalah pada Januari 2017, tetapi media dan blog politik membuat spekulasi ia bakal diadakan lebih awal.

“Saya mengadakan pilihan raya lebih awal kerana mahu mandat anda untuk membawa Singapura ke era akan datang.

“Selain itu, anda juga akan memilih pasukan yang akan bekerja dengan anda untuk tempoh 15 hingga 20 tahun dan menetapkan arah negara untuk 50 tahun akan datang,” kata Hsien Loong dalam laman Facebook miliknya.

Pada pilihan raya umum 2011, PAP memperoleh 60 peratus undian berbanding 67 peratus pada 2006 walaupun berjaya memenangi 81 daripada 87 kerusi Parlimen. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 7:47 AM