Bagi yang sudah lama menceburi bidang perniagaan dalam talian, nama Marziana Shukri yang juga pemilik laman sosial DMS Showcase bukanlah asing.

Meskipun baru berusia 24 tahun, wanita ini dianggap antara 'sifu' termuda dalam bidang perniagaan berkenaan.

Mentor pemasaran dalam talian itu mempunyai reputasi tinggi dalam bidang jualan di Internet dan tidak hairanlah jika dia menjadi pilihan ramai peniaga baru untuk menimba ilmu.

Ketika ditemui baru-baru ini, wanita kelahiran Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah itu mengakui bukan mudah untuk menarik pembeli di alam maya. Namun, ia bukan mustahil jika peniaga tahu teknik dan kaedah bersesuaian.

Sembang pendek penulis dengannya memberi ruang untuk pembaca mengenali wanita 'sifu' muda ini.

Soalan (S): Sebelum menyertai bidang ini, apakah pekerjaan Marziana?

Jawapan (J): Dulu saya bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital di Pulau Pinang. Namun, hati saya lebih tertarik pada bidang perniagaan. Selepas berbincang dengan suami, saya akhirnya berhenti kerja untuk menumpukan perhatian kepada bidang ini.

S: Bagaimana anda mula terbabit dalam bidang jualan dalam talian dan kinimenjadi pengajar kepada mereka yang baru berjinak dalam perniagaan berkenaan?

J: Saya pernah mencuba bidang pemasaran pelbagai peringkat (MLM), namun tidak menepati kehendak dan minat. Hati masih tidak puas. Kemudian saya mula menjual produk penjagaan kesihatan dan kecantikan secara dalam talian dengan pendapatan bulan pertama mencecah lima angka.

Dari situ saya tahu rupanya bidang ini dapat memberi pulangan lumayan jika kena caranya. Kini, saya mahu berkongsi ilmu berkenaan dengan usahawan muda yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dalam talian.

S: Berapa ramaikah pengikut laman sosial anda?

J: Saya memilih laman sosial Instagram kerana ia lebih mudah dan kini mempunyai lebih 5,000 pengikut. Selain itu, laman Facebook saya iaitu DMS Showcase juga memiliki pengikut lebih 1,000 orang. Jumlah pengikut biasanya bertambah setiap kali catatan dikemas kini atau ketika musim cuti.

S: Bilakah anda mengemas kini dan mempromosikan sesuatu barangan?

J: Saya online sepanjang masa, namun waktu paling saya gemari pada sebelah malam.

Ramai peniaga dalam talian tidak tahu malam adalah masa paling sesuai untuk mengemas kini maklumat atau menjual sesuatu barangan kepada pengikut mereka.

Pada waktu berkenaan, ramai yang melayari Internet selain suasana lebih tenang untuk urusan jual beli. Jadi, sebelum tidur, saya catat sesuatu di laman sosial dan selepas Subuh barulah memeriksa maklum balasnya.

S: Apakah projek yang anda usahakan sekarang?

J: Saya kini mengadakan siri jelajah kelas meletupkan jualan dalam talian. Alhamdulillah, sebelum ini saya sudah mengadakan kelas di kawasan utara dan tidak lama lagi di Subang Jaya, Kuala Lumpur dan selatan pula.

Kelas itu dalam kumpulan kecil saja iaitu sekitar 20 orang setiap sesi selama empat jam kerana saya mahu peserta mendapat manfaat sepenuhnya. Menerusi kumpulan kecil, semua orang mempunyai banyak peluang untuk berinteraksi dengan lebih dekat.

S: Siapakah idola anda dalam bidang ini?

J: Sejujurnya saya amat mengagumi pakar motivasi perniagaan terkenal Dr Azizan Osman dan jurulatih perniagaan yang juga penulis buku maya, Tuan Izan Shafie.

Selain itu, pakar kewangan juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Now Asia, Abang Abu atau nama penuhnya Abu Ayyubul Ansari, yang terkenal dengan gelaran Mekanik Wang juga mempunyai pengaruh tersendiri dalam diri saya. Mereka umpama guru dan jika ada rezeki, saya mahu berjaya seperti mereka.

S: Apakah pesanan anda kepada mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan dalam talian?

J: Tidak kira apa jua bidang yang anda ceburi, perlu dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Kita tidak akan berjaya jika melakukan kerja separuh jalan.

Sebaiknya, sebelum memulakan sesuatu perniagaan, carilah ilmu berkaitan sebanyak mungkin.

Selain itu, jangan kedekut melabur sedikit wang untuk menyertai kelas daripada tokoh terkenal kerana dari situ banyak maklumat berguna akan diperoleh.

Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Jangan patah semangat untuk mencuba kerana siapa sangka percubaan kita yang kedua, ketiga dan seterusnya itulah nanti bakal memberi kejayaan yang diinginkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 5:58 AM