Reuters

Leicester, England: Gol menakjubkan Jamie Vardy (gambar) dan Riyad Mahrez melonjakkan Leicester City kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas menang 2-1 ke atas Chelsea, awal pagi semalam.

Vardy, yang menyaksikan rekod menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut Liga Perdana berakhir di Swansea City dua minggu lalu, mengatasi penjaga gol Thibaut Courtois dengan sepakan voli berikutan hantaran silang mengagumkan perancang tengah Mahrez selepas 34 minit.

Pemain kebangsaan Algeria Mahrez melencongkan gol kedua dari hujung kotak penalti tiga minit babak kedua bagi membantu Leicester meneruskan kebangkitan menakjubkan selepas terselamat daripada penyingkiran musim lalu. Mereka kini mengumpul 35 mata, dua mata di depan Arsenal.

Pemain gantian Loic Remy memberikan pelawat sisa-sisa harapan dengan gol tandukan jarak dekat 13 minit sebelum tamat namun tuan rumah berjaya mengekang asakan Chelsea yang merudum ke tangga ke-16 dengan 15 mata daripada 16 perlawanan, satu mata di atas zon penyingkiran.

“Kami bermain menentang juara tapi kami mahu menjadikan perlawanan ini fantastik buat penyokong kami kerana mereka percaya dan mereka mengimpikannya,” kata pengurus Leicester Claudio Ranieri, yang berdepan bekas kelabnya.

“Bagus jika mereka (penyokong) terus bermimpi tapi bagi kami penting untuk bertindak cemerlang dengan semangat waja. Juga secara taktikal, saya amat berpuas hati. Kami memberi tumpuan selama 95 minit menentang juara. Ia tidak mudah.”

Kemenangan itu amat manis buat Ranieri, yang dipecat oleh Chelsea pada 2004, setahun selepas jutawan Russia Roman Abramovich mengambil alih pemilikan kelab London itu.

Ranieri mengemudi Chelsea ke kedudukan terbaik liga dalam tempoh 49 tahun dan layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara namun hadiahnya beliau dipecat.

Beliau digantikan Jose Mourinho yang kembali kali kedua mengemudi Chelsea dan kini semakin tertekan.

Mereka kalah sembilan daripada 16 perlawanan pertama buat kali pertama sejak 1978-79, musim yang mana mereka turun divisyen.

Kemurungan Chelsea berganda berikutan kecederaan babak pertama dialami penyerang Belgium Eden Hazard yang terhincut-hincut dengan masalah pinggul selepas diterjah penjaring gol terbanyak Liga Perdana Vardy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 8:51 AM