Agensi

London: John Terry dan Diego Costa menceriakan peminat Chelsea yang membuka tirai musim perayaan Krismas dengan nota kemenangan apabila masing-masing menyumbang satu gol sekali gus membantu skuad kendalian Jose Mourinho mengatasi West Ham 2-0, malam tadi.

Kemenangan selesa itu juga membolehkan Blues terus mengungguli kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris enam mata di depan pencabar terdekat yang juga juara bertahan Manchester City.

City bertemu West Brom di gelanggang lawan lewat malam tadi.

Sekalipun menguasai aksi babak pertama di Stamford Bridge, Chelsea dipaksa bekerja keras berikutan kehebatan penjaga gol Hammers, Adrian mengawal gawangnya daripada ditembusi dan hanya pada minit ke-31, kapten Terry membuka tirai jaringan.

Bermula daripada gerakan sepakan sudut, tandukan penyerang Sepanyol, Diego Costa singgah di kaki kiri Terry yang mudah merembat masuk dari jarak dekat.

Pertahanan kanan Blues, Branislav Ivanovic berasakan dia sepatutnya diberikan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama apabila ditolak penyerang West Ham, Andy Carroll namun pengadil Michael Oliver tidak mengendahkan permintaannya itu.

Costa, yang terlepas beberapa peluang pada babak pertama, menebus kesilapan itu dengan menyumbat gol kedua pasukan tuan rumah pada minit ke-62 hasil kerja keras pemain sayap Eden Hazard.

Ia gol ke-13 dalam liga buat pemain kelahiran Brazil itu sejak menyertai Chelsea dari Atletico Madrid hujung musim lalu.

Chelsea, yang menjuarai EPL dua kali di bawah kendalian Mourinho pada 2005 dan 2006 sebelum menambah satu lagi kejuaraan pada 2010, akan berusaha meneruskan penguasaan mereka di puncak liga apabila berkunjung ke Southampton malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 9:21 PM