REMY (kanan) menewaskan Begovic untuk gol kemenangan Chelsea.
REMY (kanan) menewaskan Begovic untuk gol kemenangan Chelsea.
AFP

London: Keyakinan Chelsea untuk mengekalkan pendahuluan tujuh mata di persada Liga Perdana Inggeris hampir diragut Charlie Adam yang meledak jaringan dari jarak 65 ela ketika Blues menang 2-1 ke atas Stoke City kelmarin.

Terdahulu, Arsenal mengurangkan kelebihan Chelsea kepada empat mata selepas membelasah Liverpool 4-1 dan kelab Stamford Bridge itu seakan-akan bakal kecewa apabila Adam memadam gol penalti Eden Hazard pada minit ke-39.

Seminit sebelum rehat, pemain tengah Scotland itu mengambil peluang kesilapan pemain Chelsea sebelum melepaskan rembatan kencang dengan kaki kiri yang membuatkan penjaga gol Thibaut Courtois tidak mampu berbuat apa-apa.

Jaringan itu mengingatkan penonton kepada jaringan David Beckham ketika menentang Wimbledon pada 1996 dan masalah Chelsea bagaikan berpanjangan apabila Diego Costa terpaksa keluar akibat hamstring selepas 10 minit permainan bersambung.

Begitupun, Loic Remy menghasilkan kemenangan buat Chelsea pada minit ke-62 apabila menolak masuk hantaran Hazard selepas Willian memintas lontaran ke dalam Asmir Begovic bagi memberikan kelebihan tujuh mata buat skuad kendalian Jose Mourinho itu dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

“Pasukan lain sedar mereka perlu menang setiap perlawanan manakala kami hanya perlu memikirkan diri kami sendiri dan melupakan soal lawan,” kata Mourinho.

Mourinho yang menyifatkan jaringan Adam sebagai ledakan yang diimpikan setiap pemain bola sepak dunia, berkata Costa tidak akan diturunkan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu.

Sementara itu, Adam berkata: “Saya melihat penjaga gol lawan tidak berada di kedudukannya dan saya melepaskan rembatan tepat yang menerjah ke jaring.

“Setiap kali sebelum membuat rembatan, saya sering melihat ke penjaga gol kerana bola digunakan bergerak dalam kelajuan yang agak tinggi.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:22 AM