TERRY masih lagi tercari-cari rentak bersama Villa. -Foto fail
TERRY masih lagi tercari-cari rentak bersama Villa. -Foto fail
AFP

ASTON Villa tersungkur ke zon penyingkiran Liga Kejuaraan Inggeris selepas kalah 1-2 di Reading, manakala Cardiff kekal di puncak carta apabila menang 2-0 ke atas Sheffield United, awal pagi tadi.

Kekalahan terbaru Villa bermakna pemain pertahanan bintang mereka John Terry masih memburu kemenangan pertamanya dalam Liga Kejuaraan sejak menyertai pasukan kendalian Steve Bruce itu sesudah dilepaskan oleh Chelsea hujung musim lalu.

Terry dan rakan sepasukannya ketinggalan empat minit selepas rehat apabila Glenn Whelan tertampan masuk hantaran silang Adrian Popa ke dalam gol sendiri.

The Royals, yang tumpas di tangan Huddersfield menerusi penentuan penalti pada final play-off musim lalu, menggandakan pendahuluan mereka selepas 55 minit menerusi rembatan jarak dekat Mo Barrow.

Villa, satu daripada pasukan pilihan untuk naik liga berikutan kehadiran Terry, merapatkan jurang menerusi Conor Hourihane namun ia tidak mencukupi untuk mengelak mereka merudum ke tangga kedua tercorot.

Di Stadium Cardiff City, Sean Morrison menanduk masuk gol pendahuluan Bluebirds berikutan sepakan sudut sebelum rehat manakala pemain tengah Nathaniel Mendez-Laing menyumbat gol keempatnya musim ini 10 minit selepas rehat.

Wolves turut mencatat kemenangan ketiga liga berturut-turut apabila mengatasi Hull 3-2 di gelanggang lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 7:25 AM