JOHOR DT wajib menang di gelanggang sendiri.
JOHOR DT wajib menang di gelanggang sendiri.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez mengingatkan setiap pemainnya supaya berwaspada dengan taktik permainan Perak apabila kedua-dua pasukan itu bertembung pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Bagi Gomez kekalahan pertama sejak membimbing pasukan dua bulan lalu amat perit untuk ditelan tetapi yakin kekuatan mental setiap pemain mampu menaikkan semula semangat juang memburu tiga mata.

Katanya, kesebelasan utama nanti tidak boleh bersikap sambil lewa apabila berdepan skuad Bos Gaurus, sebaliknya perlu fokus sepanjang 90 minit.

“Apa yang berlaku di Kota Bharu memberi pengajaran berguna dan pemain juga sudah melupakan episod itu, malah menunjukkan karakter positif untuk bangkit.

“Saya mungkin membuat rombakan terutama di bahagian sayap kiri dan kanan untuk memperkemaskan lagi corak permainan.

“Junior Eldstal mungkin diturunkan bagi mengemudi benteng pertahanan bersama Marcos Antonio manakala Jasazrin Jamaluddin beraksi bersama Safiq Rahim di posisi tengah.

“Posisi sayap kiri dan kanan juga akan ada perubahan tapi saya belum putuskan siapa bakal beraksi. Saya hanya akan menyenaraikan pemain terbabit selepas berpuas hati dengan apa yang saya rancangkan,” katanya.

Gomez juga menegaskan kemungkinan Mohd Amri Yahyah tidak diturunkan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Kelantan namun tampak lega dengan perkembangan Asraruddin Putra Omar yang semakin pulih.

Beliau juga menuntut kesebelasan utama memberi sepenuh komitmen dan tidak lagi mengulangi kesilapan mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 9:42 AM