AFP

Sao Paulo: Lewis Hamilton menjangkakan satu lagi cabaran sengit daripada rakan sepasukan Mercedes, Nico Rosberg apabila kedua-duanya meneruskan permusuhan pada Grand Prix (GP) Brazil dengan mata berganda pada perlumbaan penamat musim di Abu Dhabi semakin menghampiri.

Hanya beberapa hari selepas meraih kemenangan ke-10 musim ini pada GP Amerika Syarikat (AS) di Texas, Hamilton berjanji bekerja lebih keras untuk mencatat kemenangan sekali lagi dalam usahanya memburu kejuaraan dunia kedua.

Namun juara 2008 itu sedar sekalipun menang di Interlagos awal pagi Isnin ini dan pencabarnya dari Jerman itu gagal menamatkan perlumbaan, dia masih boleh terlepas kejuaraan jika kalah di Abu Dhabi dan Rosberg meraih mata berganda dengan kemenangan bernilai 50 mata pada perlumbaan terakhir musim.

“Saya faham dengan proses ini dan tahu apa yang perlu dilakukan,” jelas Hamilton.

“Tiada sebarang resipi rahsia atau seumpamanya, saya hanya perlu bertindak baik dalam dua perlumbaan berikut dan cuba meningkat.”

Di Texas, dia mengakui prospek kegagalan menjulang takhta di bawah peraturan mata berganda di Abu Dhabi pasti mengecewakan.

Rosberg pula tidak kisah jika menang dengan apa cara sekalipun.

“Inilah peraturannya, saya tidak kisah,” ujar Rosberg. “Sekalipun saya hanya lebih satu mata selepas melepasi garisan penamat di Abu Dhabi, saya tak kisah kenapa atau bagaimana. Ia sama bagi setiap pemandu. Ia impian sejak kecil untuk menjadi juara F1 dunia. Ia pasti amat istimewa.”

Hamilton menang perlumbaan kelima berturut-turut di Austin untuk membuka jurang 24 mata di depan Rosberg.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:05 AM