Jika jiwa sudah sebati untuk memandu kereta, pergi ke mana saja seseorang pasti tidak mahu berenggang dengan kereta kesayangan mereka.

Begitulah dapat diperkatakan mengenai pelumba Formula Satu (F1) pasukan Mercedes, Nico Rosberg yang gemar memandu mencari inspirasi sebelum bertarung di litar lumba.

Pendekatan dilakukannya itu dianggap ‘penenang jiwa’ sebelum kembali memecut dalam perlumbaan kompetitif F1 bersama pasukan Mercedes musim ini.

Cara naib juara F1 2014 itu mudah kerana lebih selesa memandu bersendirian menikmati keindahan dengan memandu di persisiran pantai bersama kereta klasik dikatakan begitu dekat di hatinya.

Pemandu Jerman itu sempat mengirimkan foto kereta Mercedes Benz SL Pagoda bernilai £80,000 (RM420,000) ke akaun Twitter sewaktu berhenti berehat selepas memandu berhampiran sebuah pantai, baru-baru ini.

Rosberg turut meletakkan keterangan pada gambar kereta klasik 1970 buatan Jerman itu dengan menulis: “Saya sempat merakam gambar kereta hebat kesayangan saya ini ketika memandu santai hari Ahad. Ia menakjubkan dan saya meminati Mercedes Benz klasik ini dan ia hebat”.

Pemandu Jerman berusia 29 tahun itu tewas tipis dalam saingan kejuaraan pemandu 2014 kepada rakan sepasukan Mercedes, Lewis Hamilton berharap memperbaiki prestasi itu pada musim kempen tahun ini.

“Saya tidak sabar kembali bertarung ketika cuba memperbaiki pencapaian lalu dengan aksi mantap tahun ini.

“Sudah tentu ia satu cabaran menarik. Tahap pemanduan Lewis sangat tinggi. Sudah tentu Lewis pemandu terbaik di grid permulaan buat masa ini.

“Apa kita dapat lihat pada perlumbaan terakhir di Abu Dhabi adalah pasukan Williams mampu menyaingi kami. Ia menjadikan saingan lebih hebat malah beberapa pasukan lain juga tidak akan berdiam diri.

“Sukar mengatakan pasukan mana akan lebih dominan, tetapi kami tetap yakin Mercedes kami dapat meneruskan rentak cemerlang musim ini memandangkan kami benar-benar pasukan kuat buat masa ini.

“Tiada siapa tahu sejauh mana kekuatan pencabar lain dalam F1 musim ini. Kita perlu tunggu dan lihat.”

Rosberg memberi pujian kepada Hamilton yang memenangi 11 perlumbaan berbanding lima diraihnya sepanjang musim lalu.

Biarpun terdapat permusuhan dua gandingan terbabit di Monaco dan Belgium tahun lalu, Rosberg merasakan banyak perkara dipelajarinya.

Sama ada berasa kesal dengan apa yang berlaku di litar perlumbaan F1, Rosberg berkata: “Terdapat banyak perkara saya akan lakukan dengan cara berbeza. Ya, sudah tentu, ia menjadi lumrah kepada sesiapa.

“Selalunya ia akan menjadi pengalaman sukar untuk membesar bersamanya dan banyak belajar mengenainya, tetapi rasa kesal langsung tidak wujud.

“Tidak berbaloi bercerita terlalu mendalam ketika musim saingan F1 2015 belum lagi bermula terutamanya kelainan mahu dilakukan, tetapi secara keseluruhan, musim lalu musim yang hebat.

“Sudah tentu keputusan perlumbaan terakhir tidak menyebelahi seperti diharapkan, tetapi apabila dinilai semula secara keseluruhan, ia masih satu pengalaman mengagumkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 7:32 AM