AFP

Austin: Selepas berjaya menjarakkan pendahuluan dalam kategori pelumba kepada 24 mata apabila menjuarai Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS), Lewis Hamilton tampil mengucapkan terima kasih kepada peminat atas sokongan yang diberikan selama ini.

Kemenangan itu yang kelima berturut-turut, ke-10 musim ini dan ke-32 sepanjang kariernya, satu kejayaan melebihi Nigel Mansell, menjadikannya pemandu Britain paling berjaya dalam Formula Satu.

“Saya rasa sangat gembira berada di kedudukan teratas pemandu Britain paling berjaya,” katanya.

“Ia sangat bermakna buat saya. Saya ada membuat sedikit kajian dan penyelidikan berhubung perlumbaan di litar ini. Saya yakin mampu menang dan mendapat suntikan semangat yang diberikan penyokong tempatan. Sokongan mereka menjadikan saya kuat dan yakin untuk muncul juara.”

Pelumba berusia 29 tahun itu yang memulakan aksi di petak kedua di belakang rakan sepasukan Nico Rosberg, mendahului selepas 24 pusingan dan melepasi garisan penamat dengan catatan 4.314 saat lebih pantas berbanding pemandu Jerman itu.

Kejayaan itu juga bermakna dia muncul pemandu Britain pertama sejak Mansell (pada 1992) menang lima perlumbaan berturut-turut.

Hamilton yang juga juara 2008, kini mengumpul 316 mata berbanding 292 yang dikumpul Rosberg. Kejayaan Hamilton dijana penggunaan tayar yang tepat selain kepantasan konsisten dan berbaki dua perlumbaan termasuk final di Abu Dhabi yang menyaksikan juara bakal diberikan mata berganda.

“Ia satu kebanggaan buat saya untuk mewakili negara dan menduduki tangga teratas senarai pelumba. Saya puas hati dengan perjalanan keseluruhan musim ini.

“Bagi saya, sukar untuk dipercayai apabila dapat berada di kedudukan sekarang dan saya terharu melihat peminat yang menyokong serta sanggup menyarung baju, topi tertera nama saya selain mengibarkan bendera khusus untuk saya.

“Saya sudah mencipta pelbagai keputusan tepat sepanjang beberapa tahun lalu. Saya rasa lebih matang dan tahu sukan ini memberikan tapak untuk saya lebih berjaya. Saya sedar perlu sentiasa berusaha mencapai apa yang saya inginkan,” kata Hamilton.

Keputusan semalam menyaksikan kedua-dua pelumba Mercedes itu tidak mampu dipintas pelumba lain dan hanya mereka yang boleh muncul juara musim ini.

Kejayaan itu juga menyaksikan Mercedes sudah mengumpul 10 kejayaan satu-dua tahun ini dan menyamai rekod 1998 yang dilakar pasangan McLaren, Ayrton Senna serta Alain Prost.

Hamilton muncul pelumba Britain pertama menang 10 perlumbaan semusim, rekod yang sebelum ini dipegang Michael Schumacher serta Sebastian Vettel.

Di laman Twitter miliknya, Mansell menulis: “Kejayaan hebat buat Lewis dan Mercedes. Nico mencabar dengan baik, tetapi Lewis bijak mempertahankan kedudukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:02 AM