Melihat pada perwatakan, dua pelakon muda yang meningkat naik namanya nampak baik dan menghormati orang. Malah, kalau jumpa di mana-mana, pasti mereka akan menegur kita dulu. Namun di sebaliknya, tidak sangka pula apabila pengurus baru-baru ini mengadu anak buahnya mulai tidak beradab dan bersikap seperti tidak cukup ajar.

Cik Pang pun bertanya apa sebenarnya berlaku dan jelas pengurus terbabit, dia sangat sedih dengan tindakan kedua-dua pelakon berkenaan yang secara tiba-tiba meminta keluar dari pengurusan dengan hanya menghantar mesej menerusi telefon bimbit.

Kata pengurus artis itu lagi, dia sangat terasa dan kecewa dengan tindakan mereka berdua. Maklum saja sewaktu mahu bernaung di bawah syarikat pengurusan itu bukan main manis lagi mulutnya kedua-dua pelakon itu.

Cik Pang difahamkan, sewaktu mahu meminta kerjaya seni mereka diuruskan, hari-hari datang memujuk supaya diambil tapi bila populariti mulai mencanak, begini pula jadinya.

Pada Cik Pang secara peribadi, kisah artis baru naik lupa diri bukan baru. Sudah berduit sikit dan dikenali ramai, mereka fikir boleh mendabik dada. Cuma yang menghairankan Cik Pang, kenapa kedua-dua pelakon muda ini membuat keputusan dalam waktu sama, seperti sudah ada perancangan.

Hendak kata pihak pengurusannya bermasalah, rasanya tidak juga kerana ada beberapa lagi artis yang bernaung di bawah syarikat ditubuhkan masih lagi setia bersama, malah kerjaya seni mereka berkembang baik.

Pada waktu sama, hasutan pihak tertentu juga pasti menjadi faktor menyumbang kepada keputusan diambil. Jika tidak, masakan mereka seberani itu mengambil tindakan drastik. Nasihat Cik Pang kepada pengurus terbabit, kita lihat saja sejauh mana mereka berdua boleh pergi dalam industri kalau begitu sikap mereka, seperti kacang lupakan kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:05 AM