Cameron Highlands: Tragedi banjir lumpur yang mengorbankan empat nyawa penduduk di Lembah Bertam, di sini, pada 2013 memberi pengajaran kepada penduduk supaya lebih peka dengan bunyi siren amaran.

K Kumutham, 47, berkata sebelum kejadian itu, penduduk memandang ringan dan tidak mengendahkan bunyi siren amaran pelepasan air dari Empangan Sultan Abu Bakar.

“Selepas kejadian banjir lumpur berlaku ia memberi pengajaran kepada saya dan penduduk supaya bersiap sedia menyelamatkan diri dan keluarga serta berpindah ke kawasan lain,” katanya.

Pengusaha kedai runcit di Lembah Bertam, itu berkata apabila siren berbunyi penduduk tahu air dari Empangan Sultan Abu Bakar akan dilepaskan dan mereka boleh bersiap sedia berpindah ke kawasan lebih selamat.

Kumutham yang mengusahakan kedainya 20 tahun berkata, perniagaannya tidak terjejas berikutan kejadian itu.

Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lembah Bertam, Hok Mok Sang, 67, yang lebih dikenali sebagai Mat Noor, berkata air empangan dilepaskan secara berperingkat bagi mengelak kejadian sebelum ini berulang.

Beliau berkata, sebelum air dilepaskan siren dibunyikan untuk memberi amaran kepada penduduk supaya berjaga-jaga.

“Rela, bomba, JKKK bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memberitahu penduduk air empangan akan dilepaskan” katanya.

Beliau berkata, apabila siren dibunyikan penduduk bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan termasuk menyelamatkan dokumen peribadi.

“Apabila banjir lumpur berlaku, siren berbunyi tetapi sebelum kejadian tahun lepas, penduduk kurang faham apa yang perlu dilakukan namun kini tragedi ngeri yang berlaku itu memberi pengajaran kepada kami,” katanya.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Vong Swee Tin, 46, berkata pengalaman lalu menjadikan penduduk lebih berwaspada sekiranya berlaku hujan lebat dan kedengaran bunyi siren.

“Apabila hujan lebat kami takut sekiranya kejadian sebelum ini berulang. Sebelum siren berbunyi kami dah bersiap untuk berpindah,” katanya.

Menurutnya, banjir lumpur sebelum ini lebih teruk berbanding kejadian kali ini kerana banyak rumah dan kenderaan musnah.

Hujan lebat menyebabkan air dari Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan sejak petang semalam secara berperingkat dan penduduk diarah berpindah ke kawasan tinggi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang semalam, tiga maut manakala lima cedera apabila berlaku banjir lumpur dan tanah runtuh di Lembah Bertam dan Ringlet. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 8:46 PM