Cameron Highlands: Punca air dari Empangan Sultan Abu Bakar, Lembah Bertam, di sini, dilepaskan pada malam Rabu lalu bukan hanya disebabkan hujan lebat luar biasa, tetapi pada masa sama terowong saluran air di empangan itu tersumbat akibat sampah dan mendapan tanah.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya mencadangkan penyelesaian holistik secara jangka panjang membabitkan pelbagai agensi kerajaan bagi menangani masalah banjir kilat di kawasan tanah tinggi khususnya di Lembah Bertam.

Katanya, selain hujan lebat, sampah dipercayai daripada aktiviti pertanian di kawasan rizab sungai di sini turut menyebabkan terowong saluran air empangan tersumbat hingga mengakibatkan air sungai meningkat ke paras bahaya.

“Saya cadangkan satu jawatankuasa kerja ditubuhkan bagi menangani masalah itu.

“Antara perkara perlu diberi perhatian adalah aktiviti pertanian tidak terkawal di sepanjang rizab sungai sehingga berlaku mendapan dan banyak sampah dalam sungai.

“Sebagai contoh, selepas hujan lebat petang Rabu lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggunakan perkhidmatan lima penyelam bagi membersihkan sampah di dalam Sungai Bertam,” katanya pada sidang media di pejabat TNB Habu, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:16 AM