Oleh Muhammad Apendy Issahak

Cameron Highlands: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menanggung kos pembinaan sekolah baru bagi menggantikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley, sekiranya penduduk bersetuju memindahkan sekokah berkenaan ke kawasan baru.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak TNB menawarkan untuk membiayai pembinaan sekolah berkenaan di kawasan lain yang berhampiran supaya murid sekolah itu tidak lagi menghadapi masalah setiap kali hujan lebat dan pelepasan air dari empangan.

"Perbincangan sudah dilakukan dengan pihak sekolah pada minggu lalu dan perbincangan lanjut akan dijalankan termasuk mendapatkan persetujuan pihak ibu bapa.

"Kawasan yang bersesuaian dan berhampiranakan dicari kerana tidak mahu pihak ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke lokasi jauh," katanya selepas melawat keadaan di Lembah Bertam susulan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di sini lewat petang Rabu lalu.

Menurutnya, langkah pemindahan itu perlu dilakukan atas faktor keselamatan dan tidak mahu pembelajaran murid terjejas setiap kali hujan lebat berlaku serta air empangan dilepaskan dan penduduk dipindahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 1:14 PM